Rabu, 17 Julai 2013

Kes tuntutan kewarganegaraan: Mahkamah arah JPN selesai

stateless

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan kes perbicaraan permohonanan kewarganegaraan tiga sekeluarga India dan mengarahkan agar kes diselesaikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pada 10 Disember tahun lalu, Letchumy Suppiah dan dua anaknya, Mala Kothandu serta Sarojini Kothandu memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia selepas permohonan mereka ditolak JPN.


Letchumy menamakan Ketua Pengarah JPN, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Hakim Datuk Zaleha Yusof menetapkan 19 Ogos ini sebagai tarikh sambungan perbicaraan dan mencadangkan kepada Peguam Negara agar merujuk kes tersebut kepada JPN untuk diselesaikan dalam tempoh tersebut.

Peguam yang mewakili keluarga tersebut, Eric Paulsen menegaskan, ketiga-tiga anak guamnya berhak mendapat kewarganegaraan dan kad pengenalan (IC) mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Ketiga-tiga mereka dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, tetapi mereka dinafikan hak untuk mendapat kewarganegaraan, malah JPN minta macam-macam bukti yang tidak realistik untuk membuktikan mereka warganegara,” kata Eric kepada Keadilan Daily.

Hadir sama, seorang lagi peguam kes, Latheefa Koya dan Timbalan Pengerusi Biro Hak Asasi & Undang-undang KEADILAN, S Jayathas.

Eric turut mempersoal tindakan JPN memberikan IC kepada masyarakat India melalui MIC  sebelum PRU 13, tetapi menafikan tuntutan rakyat yang dibawa Pakatan Rakyat.

“Pemberian kewarganegaraan tidak wajar berlandaskan parti politik, ini tidak adil,” tegasnya.

Tambah beliau, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga membuktikan banyak IC diberi kepada warga asing.
“Begitu juga melalui keterangan-keterangan dalam RCI.  Ada warga asing diberi IC hingga sanggup masuk hutan. Kenapa rakyat sendiri dikenakan peraturan begitu ketat dan tidak realistik?” soalnya.

“Sedangkan JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai bidang kuasa yang cukup besar, dan seharusnya mereka menggunakan kuasa itu dengan lebih baik untuk membela rakyat,” kata Eric.

Tiada ulasan: