Mas (Malaysia Airlines)
Mas (Malaysia Airlines)
 
KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-pekerja Sistem Penerbangan MAS (Maseu) hari ini meminta kerajaan campur tangan dalam pentadbiran Malaysia Airlines (MAS) dengan melantik kepimpinan baharu yang lebih arif dalam industri penerbangan bagi mengemudi syarikat penerbangan negara itu.
  
Setiausaha Eksekutif Maseu Mohd Jabarullah Abdul Kadir berkata pelbagai masalah dalaman termasuk kerugian terbesar sebanyak RM2.52 bilion yang dialami MAS pada 2011 telah merencatkan reputasinya sebagai syarikat penerbangan ulung negara sejak 40 tahun lepas.
  
"Sebagai sebuah kesatuan di bawah MAS, kami bimbang dan tidak lagi boleh berpeluk tubuh melihat perkembangan ini.
  
"Kerugian yang dialami MAS termasuk krisis lain seperti khabar angin pemecatan kakitangan, amat mendukacitakan dan memerlukan tindakan drastik serta campur tangan segera daripada kerajaan," katanya pada sidang media di pejabat Maseu di Subang Jaya hari ini.
  
Beliau berkata banyak pihak yang kurang jelas dengan krisis yang membelenggu MAS dan menuding jari menyalahkan kakitangan dan kesatuan terhadap semua isu yang berlaku termasuk isu kerugian.

Namun hakikatnya pihak pengurusan atasan termasuk kepimpinan tertinggi MAS sebenarnya yang menentukan jatuh bangun syarikat penerbangan itu, katanya.
  
"Kami mahu pengurusan yang boleh atur strategi terbaik untuk MAS, keadaan sekarang kami tidak nampak apa-apa yang besar dalam industri penerbangan MAS.
 
"Kerana itu MAS perlu mengambil kepimpinan yang berpengetahuan luas dalam bidang penerbangan, bukan orang luar yang tiada latar belakang industri ini dan hanya belajar mengenai industri selepas dilantik dalam MAS...jika tidak, MAS boleh ketinggalan," katanya.
  
Sementara itu, Setiausaha Agung Maesu Ab Malek Ariff berkata kesatuan itu yang mewakili 15,000 kakitangan MAS merayu kerajaan memberi perhatian serius berhubung isu pelantikan pengurusan baharu.
  
Katanya tindakan segera akan menyelamatkan syarikat itu daripada terus berdepan masalah dan kerugian lebih besar, seterusnya mampu terus bersaing secara sihat dengan syarikat penerbangan lain.
  
Isu pengurusan MAS timbul setelah terdapat ura-ura penggabungan syarikat itu dengan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia, namun penggabungan itu dibatalkan berikutan bantahan pelbagai pihak. - Bernama