Roketkini.com
GEORGE TOWN: Kerajaan Persekutuan BN dianggap menipu rakyat apabila mengamalkan diskriminasi cukai “satu negara dua sistem” yang hanya memberi insentif cukai 15% kepada pakar warga asing dan rakyat Malaysia yang pulang di kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, adalah tidak munasabah insentif cukai itu tidak boleh dinikmati di negeri lain, termasuk Sabah, Sarawak yang jugav memerlukan pakar berpengetahuan.
Beliau berkata, jawapan bertulis Menteri Kewangan itu membuktikan kerajaan Persekutuan tidak berlaku adil kepada negeri lain, termasuk Sabah dan Sarawak kerana cukai insentif hanya untuk Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor.
“Menteri Kewangan juga mendakwa cukai insentif 15% itu perlu untuk bersaing dengan kadar cukai rendah di negara jiran seperti Singapura (15%) dan Hong Kong(17%) menafikan cukai insentif itu “satu sistem dua negara” kerana ia hanya dinikmati untuk tempoh lima tahun dan akan bayar kadar 25% selepas itu,” katanya dalam kenyataan media, di Komtar, hari ini.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada cukai itu akan diperluaskan di seluruh negara dan kepada pakar tempatan yang tidak berhijrah ke luar negeri agar tidak ada kejanggalan satu negara dua sistem.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan menyatakan tidak bercadang memperluaskan insentif itu kepada pakar yang berada di Malaysia kerana akan membabitkan kehilangan hasil cukai memandangkan mereka adalah pembayar cukai sedia ada dan sekiranya diperluaskan ia tidak memberi impak kepada penambahan bilangan modal insan berkemahiran tinggi di Malaysia yang menjadi objektif insentif itu.
Kerajaan menyatakan objektif insentif itu adalah untuk menarik tenaga pakar asing dan tempatan untuk menetap dan bekerja di Iskandar Malaysia supaya dapat bersaing dengan bandaraya pesaing kadar cukai efektif seperti Singapura (15%) dan Hong Kong (17%) selaras dengan hasrat Iskandar Malaysia menjadi bandaraya metropolis yang mampan dan dinamik pada 2025 di bawah Rancangan Pembangunan Komprehensif untuk Wilayah Ekonomi Johor Selatan.
Program itu dikatakan menerima respon yang amat menggalakkan dari segi peningkatan bilangan profesional yang diberi kelulusan insentif REP dari tahun ke tahun. Pada 2011, bilangan profesional yang balik adalah 680 orang manakala pada 2012, 923 orang mendapat kelulusan dan setakat Mei tahun ini, seramai 419 orang mendapat kelulusan.
Bidang kepakaran yang diceburi pula terdiri daripada sektor mengikut bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) khususnya sektor perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan, minyak, gas dan tenaga, kandungan komunikasi dan infrastruktur dan elektrik dan elektronik.
Antara golongan yang kembali berkhidmat termasuk profesional yang berkualiti tinggi yang kini dilantik Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat tersenarai serta sebagai anggota pengurusan terkanan di syarikat multinasional.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan