Kelas aliran agama diperluas ke SMK
Kelas aliran agama diperluas ke SMK - Gambar hiasan
 
TUMPAT - Kelas Aliran Agama (KAA) akan diperluaskan di semua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negara berikutan sambutan positif ibu bapa pelajar terhadap pelaksanaannya.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Malaysia, Abdullah Md Din berkata kelas tersebut dimulakan pada 2008 di beberapa SMK terpilih dan jumlah kelas terpaksa ditambah bagi memenuhi permintaan tinggi ibu bapa.

"Kejayaan pelaksanaan ini menyebabkan kita membuka kelas berkenaan di sekolah harian biasa dan sambutan amat membanggakan," katanya kepada pemberita selepas menutup Majlis Ihtifal Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan peringkat kebangsaan kali kedua di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, di sini hari ini.

Pelajar yang mengikuti KAA akan mempelajari al-Quran dan Sunah, Bahasa Arab serta Syariah Islamiyah di samping mata pelajaran biasa seperti Fizik, Kimia dan Biologi.

"Pendekatan ini membolehkan mereka mengikuti pengajian agama dan akademik secara serentak," katanya.

Mengenai majlis Ihtifal tersebut, Abdullah berkata penganjuran program tersebut secara tidak langsung mampu meningkatkan penguasaan pelajar dalam Bahasa Arab dan al-Quran, selain dapat mencungkil bakat terpendam pelajar terutama berkaitan pengucapan awam. - Bernama