P Kamalanathan
P Kamalanathan
 
KUALA LUMPUR - Masalah berkaitan lokasi kantin sementara yang didakwa kurang sesuai di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh dekat sini, tiada kena mengena dengan isu agama dan bangsa, kata Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.
  
Beliau berkata isu yang dibangkitkan sesetengah pihak sebelum ini yang mengatakan ia bersifat perkauman adalah tidak benar.
  
"Bilik itu digunakan sejak Mac lepas dan semua murid termasuk pelajar Muslim menggunakannya kerana kantin sekolah itu tidak dapat menampung jumlah pelajar yang ramai. Oleh itu tanggapan bahawa hanya pelajar bukan Islam sahaja yang makan di situ adalah salah.
  
"Keputusan untuk menggunakan bilik persalinan itu sebagai kantin sementara dibuat setelah dibincangkan dalam masyuarat Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) berikutan kantin sekolah ini agak kecil dan hanya boleh menampung kira-kira 600 pelajar sahaja sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah itu hari ini.
  
Katanya cadangan untuk menjadikan bilik persalinan itu sebagai kantin sementara juga telah dipersetujui dalam masyuarat PIBG dan ia tidak menimbulkan sebarang masalah sebelum ini.

Kamalanathan berkata pihaknya sedar bahawa bilik itu tidak sesuai dan telah berbincang dengan pihak sekolah itu supaya tidak lagi menggunakan bilik persalinan sebagai kantin sementara.
  
"Saya juga menerima permohonan daripada pihak sekolah untuk meminta bantuan bagi pengubahsuaian kantin asal bagi menampung lebih ramai pelajar, dan kami akan pertimbangkan permohonan itu.
  
"Sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor saya juga akan memberikan sumbangan RM10,000 dan saya berharap kantin itu boleh disiapkan secepat mungkin," katanya.
  
Sebelum ini akhbar melaporkan bilik persalinan di sekolah itu digunakan sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang bulan Ramadan ini. - Bernama