Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut sehingga kini tercatat sebagai pilihan raya kecil paling tenang dengan hanya empat kes dilaporkan setakat ini, kata Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Daripada laporan itu, satu daripadanya dianggap 'laporan yang pelik' iaitu melibatkan kejadian membakar bendera kedua-dua parti bertanding.

"Ertinya ia bukan disebabkan pihak lawan tetapi mungkin ada pihak lain yang sengaja mahu membuat provokasi.

"Jadi saya harap trend tenteram ini akan berlanjutan sehingga selepas hari mengundi di mana polis akan sentiasa memantau dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua," katanya selepas mendengar taklimat keselamatan di Markas Taktikal Polis (Martek) di Kuala Besut semalam.

Ahmad Zahid berkata selain kerjasama parti-parti bertanding, keadaan tenang itu terhasil menerusi kesiapsiagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan penugasan 2,789 pegawai dan anggota dari seluruh negara sepanjang tempoh pilihan raya kecil itu.

Katanya sebanyak RM10.4 juta diperuntukkan PDRM bagi memastikan ketenteraman sepanjang pilihan raya kecil itu.

Ditanya apakah kos itu boleh dianggap tinggi bagi sebuah pilihan raya kecil, Ahmad Zahid berkata ia adalah kos yang sederhana sepertimana yang diperuntukkan pada mana-mana pilihan raya kecil.

Pilihan raya kecil pada 24 Julai itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan Endot@Azlan Yusof dari PAS.- Bernama