Jumaat, 26 Julai 2013

Jangan kata Morsi tak boleh mengurus



Oleh Subky Latif

JAGA mulut baik-baik! Jangan celupar kata, Presiden Mesir, Mohamed Morsi tidak boleh mengurus perubahan! Katalah, Morsi tidak diberi peluang mengurus perubahan.

Itulah yang sekular di Malaysia kata pada kerajaan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan mula-mula menjadi Menteri Besar tahun 1990 dulu.

PAS ditohmah tidak pandai mengurus. Tok Guru Nik Aziz pun tiada pengalaman mengurus pentadbiran negeri, bahkan lain-lain pengurusan.

Maka mereka beri padanya masa tiga bulan. Lepas itu kerajaan Kelantannya pun akan tumbang. Lepas tiga bulan tiada apa terjadi. Mereka beri pula tiga tahun. Lepas tunggu tiga PRU Kelantan terus di bawah Menteri Besar ulama yang dikatakan tidak tahu mengurus dulu.

Saya tidak bercadang untuk mengatakan beliau pandai pengurus, tetapi rakyat Kelantan member peluang kepadanya mengurus. Nasib Kelantan baik kerana golongan sekularnya tidak sejahat golongan sekular di Mesir. Rakyat Kelantan sudah lama kenal demokrasi, maka beri pelung kepada Menteri Besarnya menggenapkan penggal lima tahun, sama ada diberi kepercayaan lagi atau tidak.

Apakah beliau tahu mengurus? Laporan Ketua Audit Negara untuk negerinya tidaklah seburuk setengah pentadbiran negeri sekular.

Rakyat memberi peluang kepada Tok Guru Nik Aziz. Hutang negeri kepada kerajaan pusat berkurang setiap tahun. Perdana Menteri menyangka dia pandai mengurus, tetapi hutang negara kira-kira Rm300 bilion menjadi RM500 bilion dalam masa empat tahun.

Morsi tidak membawa tongkat sakti atau lampu Aladin apabila dia menjadi Presiden. Dia mewarisi sebuah Mesir yang hampir muflis, rakyatnya miskin dan kebanyakannya kais bila nak makan. Negerinya tidak dicurahkan minyak seperti jiran-jiran Arabnya yang lain.

Sejak dia belum mengangkat sumpah Presiden, dia tidak diberi peluang mentadbir oleh puak sekular pro dan anti-Mubarak. Pro dan anti-Mubarak sepakat menjadi anti-Morsi dan anti Ikhwanul Muslimin yang memenangi pilihan raya bebas.

Mewarisi negara seperti yang dipikul oleh Morsi itu bukanlah mudah apa lagi dia tidak diberi peluang mengurus. Siapa kata Presiden BJ Habibie tidak tahu mengurus. Dia adalah tenaga penting di belakang Presiden Suharto yang menjadikan pembangunan Indonesia jauh lebih maju dari zaman Sukarno.

Kejatuhan ekonomi dan kewangan Indonesia di hujang pentadbirannya adalah yang meruntuhkan kebanyakan harimau Asia termasuk Korea Selatan, Thailand, Taiwan dan Malaysia. Indonesia sudah juga sudah menjadi harimau Asia.

Habibie mewarisi Indonesia yang hancur daripada Suharto. Kecekapannya sebelum itu tidak dapat memulihkan Indonesia dalam masa setahun. Demokrasi Indonesia hendak makan setiap hari. Mereka beri peluang 32 tahun kepada Suharto, mereka beri pelung setahun saja kepada Habibie. Kecekapan Habibie sebelumnya tidak dapat membantunya memulihkan Indonsia dalam masa sekelip mata.

Morsi berada dalam keadaan lebih teruk dari Habibie. Kedua-dunianya tidak diberi peluang oleh rakyat masing-masing.

Nasib yang sama menimpa Nizar Jamaluddin. Bukan dia jahil mengurus. Tanya CEO Daya Urus yang membangunkan Dayabumi. Dia antara pengurus cemerlang Daya Urus yang membangunkan Dayabumi. Dia dikatakan pernah naik pangkat tiga kali setahun dengan kenaikan gaji tiga kali setahun.

Dengan pengalaman itu tentu dia boleh menguruskan kerja Menteri Besar Perak. Mungkin dengan mengalamannya dia lebih cekap mengurus daripada Dr Morsi. Tetapi dia juga tidak diberi peluang meneruskan pengurusannya. Dari mula dia diganggu oleh orang-orang yang merasa mereka saja anak Perak. Kemuncaknya Najib Razak melakukan apa yang tentera Mesir lakukan kepada Presiden Morsi merampas kuasanya.

Timbalan Perdana Menteri sendiri tidak memberi peluang kepada Nizar untuk meneruskan pengurusan pentaddbiran negeri Perak. Soalnya bukan Nizar tidak tahu mengurus, tetapi Najib tidak memberi peluang kepadanya menyambung pengurusan.

Demikianlah Dr Morsi. Dia adalah profesor yang terlatih di Amerika. Sedikit sebanyak dia ada pengetahuan tentang pengurusan Amerika.

Mengurus Ikhwan Muslimin bukan suatu yang mudah. Gerakan Islam itu terpaksa bergerak bawah tanah kerana sejak mula ia haramkan oleh polis dan kerajaan tentera Mesir. Gerakan itu tidak boleh bergerak terang-terangan. Tetapi semua tahu bahawa pengaruh Ikhwan terus berkembang dan menawan hati sekalian yang berjiwa Islam.

Jika mereka tidak tahu mengurus bagaimana sekian ramai orangnya dibunuh dan ditindas, bergerak dalam senyap dan sunyi boleh mendapat pengikut yang ramai dan menjadi organ yang berpengaruh di kalangan rakyat terutama orang miskin.

Dalam bergerak secara rahsia Ikhwan boleh campur dalam menggulingkan Mubarak, dan diikuti dapat memenangi pilihan raya bebas, mengalahkan pertubuhan yang boleh bergerak berterang-terangan. Badan politik yang dihadapi oleh Dr Morsi dalam pilihan raya adalah badan yang disokong oleh tentera dan penyokong-penyokong Mubarak, Amerika dan penyokong Israel.

Semuanya banyak pengalaman pengurusan dan ramai pakar dan penasihat. Siapa yanag boleh menapikan keupayaan Israel dan Amerika dalam pengurusan semua perkara dan tipu belit politik?

Semuanya ditumpukan untuk menggagalkan kebangkitan Ikhwan Muslimin. Tetapi Morsi dapat mengalahkan mereka. Adakah kemenangan Morsi dan Ikhwan itu suatu yang terjadi begitu tanpa perancangan dan taktik serta pengurusan?

Mereka tidak menang percuma, tetapi mereka menang setelah bekerja, merancang dan mengurus. Bukan mudah menghadapi negara yang diperintah tentera sejak tahun 1951 iaitu sebelum Perdana Menter Najib lahir. Tidak mudah bagi Morsi menghadapi kesan kuasa kuku besi Mubarak selama 30 tahun. Dapatkah kita mengagak dari mana Najib itu diambil oleh bapaya Tun Razak?

Tidakkah ia diambil dari ketua tentera Mesir yang menggulingkan Raja Farouk, Jeneral Mohammed Naguib yang menjadi Presiden pertama Mesir? Tidak mungkinkah Tun Razak terpengaruh dan terpesona dengan rampasan kuasa itu lalu menamakan anak sulungnya dengan nama jeneral yang merampas kuasa itu?

Ikhwan hanya bebas bergerak setelah Mubarak dijatuhkan. Dalam masa kurang dar setahun mereka menyusun membentuk sayap politik dan menyertai pilihan raya dan menang.

Mereka sudah dihalang sebelum Morsi dinamakan sebagai calon. Tapi partinya menang pilihan raya Parlimen. Kemenangan itu dibatalkan oleh hakim mahkamah yang dilantik menjadi Presiden sementara sekarang. Kemudian Morsi menang majoriti mudah untuk jadi Presiden. Pelbagai halangan dihadapinya sebelum jadi Presiden dan selepas jadi Presiden.

Berjuta-juta rakyat sudah menunaikan tanggungjawab memilih Presiden. Majoriti orang awam ini seperti lain-lain orang awam di dunia tidak kisah sangat dengan politik. Yang menghalang Morsi itu hanya dua tiga juta saja. Tentera dan polis yang menindas Ikhwan selama lebih 60 tahun, malu untuk berkhidmat dengan orang yang mereka tindas. Jalan mudahkan membenarkan diri untuk mengkhianati kerajaan dan pemipin yang dinaikan rakyat melalui demokrasi.

Pada mereka apa salah Morsi? Mursi hendak membawa mereka dari hanyut dalam alam sekular untuk kembali ke alam Islam. Kata mereka telah biasa hidup bersama Islam dan sekular, maka Morsi pecahkan antara Islam dan sekular. Islam itu adalah ajaran Allah dan Rasul-Nya. Sekular itu ajaran Yahudi Israil dan Nasarah. Jenayah Morsi dan Ikhwan iaitu kerana mahukan Islam didaulatkan semula di Misir.

Mereka dimusuhi bukan kerana kegagalan pengurusan, tetapi mereka tidak langsung diberi peluang.
Berapa orang rakyat Mesir yang dibunuh oleh Morsi? Tetapi selepas Morsi dibuang, tentera menyebelih rakyatnya. Sekurang-kurang 50 terbunuh dan beratus-ratus cedera.

Berapa lama lagi Mesr mesti menjadi hamba penjajahan asing bentuk baru?

Tiada ulasan: