Editor BULETIN
Mudir MTT, Ustaz Muzaihar Kamal Mustafa Kamal berkata rampasan kuasa oleh tentera Mesir adalah persekongkolan golongan sekular dengan pihak barat dan ianya tidak dapat diterima oleh masyarakat dunia.
Belau berkata, seluruh umat Islam yang prihatin termasuk di negara ini wajar menentang konspirasi tersebut.
“Kami, warga MTT terdiri dari para pelajar, guru dan kakitangan sekolah amat tidak bersetuju dan menentang tindakan rampasan kuasa tentera terhadap kerajaan Islam Mesir di bawah Dr Mohamed Morsi.
“Ini (demo) tanda solidariti kita terhadap umat Islam dan jamaah Islam Ikhwanul Muslimin di Mesir yang sedang dibunuh dan dizalimi oleh pihak yang memusuhi Islam,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan para pelajar yang berdemontrasi secara aman sebagai tanda solidariti kepada Morsi, di perkarangan Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT), Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu hari ini.
Menurut Ustaz Muzaihar, seramai 600 pelajar, guru dan kakitangannya menyertai demontrasi aman ini sebagai tanda solidariti kepada Ikhwanul Muslimin di Mesir.
Ketua pelajarnya, Abdullah Hakimi Zahid, 17, berkata kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi pilihan raya yang sah wajar dikembalikan semula oleh tentera Mesir.
“Kami (pelajar) sokong kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat dan menentang sebarang bentuk rampasan kuasa oleh boneka barat,” ujarnya.
Manakala, Timbalan Ketua Pelajarnya, Siti Nor Solehah Syed Jaafar, 17, mendesak agar pihak rampasan kuasa di Mesir menghentikan segera keganasan terhadap penyokong Dr Mohamed Morsi.
Katanya, masyarakat yang bertamadun menolak sebarang bentuk keganasan serta pencabulan terhadap hak rakyat.
“Kami (pelajar) mendesak pihak yang merampas kuasa kerajaan di Mesir supaya hentikan segera keganasan terhadap rakyat dan penyokong Dr Morsi.
“Masyarakat yang bertamadun hari ini menolak keganasan dan pencabulan hak rakyat oleh mana-mana pihak sekali pun kerana demokrasi itu hak rakyat,” ujarnya.
Pada perhimpunan tersebut pelbagai slogan dipamerkan antaranya “Kami bersama Presiden Mesir yang sah…Dr Morsi”, “Kembalikan Hak Rakyat”, “Ya Allah…Selamatkan Umat Islam Mesir” sambil mengangkat gambar Dr Morsi.
Antara pimpinan PAS yang hadir bersama menyatakan sokongan tersebut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik dan Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan