Datuk Seri Mustapa Mohamed
Datuk Seri Mustapa Mohamed
 
KUALA LUMPUR - Anggota pembangkang Mohd Rafizi Ramli hari ini diminta mengemukakan bukti berhubung dakwaannya bahawa terdapat gaji pekerja syarikat kenderaan diturunkan berikutan langkah syarikat itu menurunkan harga kereta keluarannya.
  
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata maklumat itu perlu kerana setakat ini kementerian tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.
  
"Kami tidak ada terima laporan bahawa selepas Proton atau Perodua atau Nissan atau Mazda, turunkan harga (kereta), gaji (pekerja) diturunkan, kalau (anggota Parlimen) Pandan ada maklumat, sila beri kepada saya. Saya nak tahu syarikat yang potong gaji.
  
"Kita juga tidak terima laporan ada syarikat yang kurangkan harga (kereta tertentu) tetapi naikkan (harga) model lain, begitu juga laporan bahawa ada syarikat yang turunkan harga tetapi potong bonus," katanya.
  
Berucap menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, Mustapa menggesa Mohd Rafizi (PKR-Pandan) menyerahkan bukti itu bagi membolehkan siasatan dibuat mengenai dakwaan itu.
  
Mohd Rafizi ketika membahaskan usul sama sebelum ini turut mendakwa langkah kerajaan menurunkan harga kereta secara berperingkat menyebabkan kenaikan harga model lain selain kualiti kereta menurun.
  
Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai serius, Mustapa berkata beliau ingin tahu syarikat yang mengambil tindakan sedemikian supaya boleh dirujuk kepada Tribunal Pengguna.
  
"Ini satu dakwaan yang serius, saya pun nak tahu juga syarikat mana yang menurunkan kualiti kereta mereka. Jika benar, maka ini boleh dirujuk kepada Tribunal Pengguna atau Persatuan Pengguna.
  
"Ini satu dakwaan yang berat terhadap syarikat. Saya minta (anggota Parlimen) Pandan beri bukti," katanya.
  
Beliau menjelaskan terdapat empat faktor yang menentukan harga sesebuah kereta iaitu kos pengeluaran yang melibatkan kos buruh, material dan komponen import, duti eksais, cukai jualan dan margin atau kadar keuntungan yang ditetapkan syarikat.- Bernama