Khamis, 25 Julai 2013

Harga ayam sepatutnya ditetap sebelum puasa

Harakahdaily,




KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Pesekutuan menyifatkan tindakan kerajaan yang akhirnya menetapkan harga standard RM 7.70 sekilogram berkuatkuasa esok sebagai "lambat bertindak".

Setiausahanya Nurul Islam Mohamed Yusof berkata, pihak kementerian sepatutntya bertindak lebih awal kerana isu kenaikan harga ayam ini bukan baru, malah setiap tahun menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri pasti akan berlaku.

"Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ingin mendesak pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang diketuai oleh menterinya, Datuk Hasan Malek untuk mengambil langkah drastik terhadap isu ini.

"Sewajarnya langkah ini sudah dirancang awal kerana musim perayaan berlaku setiap tahun, dan harga ayam ini naik mendadak pada tahun ini. Satu mekanisme kawalan mesti dilakukan oleh pihak kementerian," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, jika ketetapan harga dibuat awal, contohnya sebelum Ramadan lalu, iaitu ketika harga ayam hanya RM6.50 sekilogram, maka kenaikan mendadak sehingga RM9.00 sekilogram seperti disesetengah tempat tidak akan berlaku.

Malah, mungkin juga harga tersebut boleh dikurangkan dan tidak perlu mencecah RM7.70 sekilogram seperti yang diwartakan oleh kerajaan bermula esok, iaitu selepas 16 hari umat Islam sudah menjalani ibadah puasa.

"Kami juga berpendapat sekadar menetapkan harga kawalan tidak memadai tanpa ada pemantauan dan penguatkuasaan dari pihak Kementerian.

"Justeru, pihak DPPWP dengan tegas mendesak pihak kerajaan untuk membuat pantauan yang ketat dan konsisten khususnya terhadap pengusaha dan pembekal daging ayam bagi memastikan harga ayam berada dalam kawalan," katanya.

Tiada ulasan: