Sabtu, 27 Julai 2013

Ketirisan RM6.7 juta bayar penyelaras parlimen

Harakahdaily,


IPOH: Adalah tidak wajar untuk membayar gaji kepada penyelaras kawasan parlimen di kawasan-kawasan BN kalah dalam pilihanraya.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata, pelantikan penyelarasan kawasan parlimen adalah pelantikan politik dan bukan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Oleh yang demikian, kerajaan tidak seharusnya membayar gaji kepada penyelaras-penyelaras kawasan parlimen itu,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, pembayaran gaji kepada mereka adalah satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak Kementerian Kewangan yang mana wang kutipan cukai daripada rakyat disalahgunakan untuk tujuan politik BN.

Tambahnya, penyelaras-penyelaras kawasan itu hanya menganjurkan program-program politik untuk BN.

Tidak salah kalau parti-parti politik melantik penyelaras kawasan Parlimen  dan dibayar gaji daripada dana politik masing-masing.

“Tetapi, membayar gaji mereka melalui dana kerajaan adalah satu salah laku dan penyelewengan yang patut dielakkan,” ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak.

Menurutnya, sebelum 1 Jun 2012, gaji yang dibayar kepada penyelaras kawasan parlimen ialah RM5,680 sebulan.

Pada 13 Ogos 2012, kadar gaji itu dinaikkan kepada RM6,265 sebulan berkuat kuasa 1 Jun 2012.

Ini, kata beliau bermaksud kerajaan terpaksa membayar gaji kepada kesemua 89 penyelaras  parlimen di kawasan-kawasan yang BN tewas.

Oleh yang demikian jumlah gaji yang perlu dibayar oleh kerajaan berjumlah RM557,585 setiap bulan, katanya.

Dalam tempoh satu tahun, kata beliau jumlah gaji yang dibayar kepada penyelaras-penyelaras kawasan parlimen ini berjumlah RM6,691,020 dan dalam tempoh lima tahun, beban kerajaan untuk pembayaran gaji itu ialah RM33,445,100.

Justeru, beliau berkata kerajaan harus berhenti membayar gaji kepada penyelaras kawasan parlimen dengan serta merta kerana RM33.5 juta dibelanjakan secara tidak amanah.

“Dalam jawapan yang diberikan  di Dewan Rakyat, kerajaan tidak mengetahui atau mempunyai apa-apa rekod bagaimana wang yang dibayar itu dibelanjakan oleh penyelaras-penyelaras kawasan parlimen itu,” ujarnya.

Tiada ulasan: