Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim
hari ini menegaskan pemecatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan
Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Shahidan berkata, perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Tuanku
memandangkan pelantikan SPR dilakukan oleh baginda dan bukannya
kerajaan.
"Hanya Agong yang boleh hentikan mereka (SPR).
"Untuk membuang Pengerusi dan Timbalan SPR, hanya pihak yang melantik
sahaja boleh melakukannya iaitu Agong," kata Shahidan membidas pemimpin
Pakatan Rakyat yang mendesak supaya kedua-dua pemimpin utama SPR
meletak jawatan.
Gesaan supaya pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan
timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berundur hangat diperkatakan
selepas berakhir pilihan raya 5 Mei lalu.
Ia ekoran kontroversi penggunaan dakwat kekal tercetus ketika pilihan
raya umum dimana banyak pihak mendakwa dakwat berkenaan mudah hilang
selepas dibasuh, bercanggah dengan jaminan SPR bahawa dakwat berkenaan
akan kekal sehingga dua minggu bagi mengelakkan pengundi daripada
mengundi lebih dari sekali.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan anggota SPR
digesa meletak jawatan kerana pengendali pilihan raya itu gagal
memastikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)berjalan dengan bebas dan
adil.
Selain itu, PR juga mengadakan perhimpunan besar-besaran #Black505 di
seluruh negara sejak 8 Mei untuk memprotes dakwaan penipuan dalam PRU13
yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa walaupun
kehilangan undi popular.
Shahidan sebelum ini berkata dalam sesi sidang Dewan Rakyat bahawa
isu dakwat kekal yang tidak kekal itu timbul ekoran dakwat yang
digunakan SPR menggunakan pewarna makanan.
SPR bagaimanapun sebelum itu berkata atas alasan kesihatan, kandungan
silver nitrat dalam dakwat kekal itu dikurangkan bagi mengelakkan
pengundi terdedah kepada risiko kanser.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga
mempertahankan SPR apabila berkata Malaysia pada dasarnya tidak
memerlukan penggunaan dakwat kekal, sebaliknya cukup menggunakan kad
pengenalan untuk mengenal pasti individu tertentu sebagai pengundi.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata penggunaan dakwat kekal itu
adalah atas permintaan pembangkang dari PR di Parlimen yang kemudiannya
dipersetujui.-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan