Shahidan
Shahidan (kiri) meneliti kandungan memorandum sambil diperhatikan oleh Dzulkarnain. Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 
KUALA LUMPUR – Kandungan Silver Nitrat di dalam dakwat kekal yang digunakan pada PRU13 lalu ada kurang satu peratus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Shahidan yang mengesahkan perkara itu berkata, faktor kepada pengurangan jumlah bahan kimia itu dilakukan kerana bimbang akan menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia.

"Kita menerima pakai apa yg telah ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan jika kita guna melebihi had, ia boleh mengakibatkan masalah kesihatan tertentu.

"Saya akan jelas perkara ini dengan lebih jelas esok," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Kandungan silver nitrat yang rendah di dalam dakwat kekal dipercayai menjadi punca insiden di mana dakwat itu boleh hilang apabila dibasuh.

Isu dakwat kekal menjadi perbualan hangat pihak pembangkang sehingga mereka mendakwa berlaku penyelewengan di pihak SPR.

Pada sidang media yang sama, Shahidan turut menerima memorandum daripada badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pergerakan kumpulan Red Bean Army.

Memorandum itu disampaikan oleh Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia, Dzulkarnain Taib mewakili 130 NGO Melayu Islam.

Menurut Shahidan, pihaknya akan meneliti kandungan memorandum itu sebelum membawa ke dalam mesyuarat kabinet Jumaat ini.

"Kita lihat sejauh mana keperluan dan bahayanya kumpulan ini kepada masyarakat sehingga perlu menubuhkan RCI," katanya.