Selasa, 9 Julai 2013

Chang Khim : Walaupun Sukar, Selangor Bangunkan Pengangkutan Awam


bas-khalid-01

SHAH ALAM  : Kerajaan Negeri sedaya upaya akan melaksanakan penambahbaikkan terhadap sistem pengangkutan awam di Selangor mengikut peraturan dan bidang kuasa yang dimilikinya.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata masalah yang dihadapi Kerajaan Negeri dalam pembangunan pengangkutan awam adalah bidang kuasa sektor itu terletak di bawah Kerajaan Persekutuan.

Walaubagaimanapun Kerajaan Negeri akan meneruskan perancangan untuk menyediakan perkhidmatan bas tempatan di bandar-bandar utama seperti Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya seperti yang dijanjikan di dalam manifesto pilihanraya Pakatan Rakyat 2013.

teng dun 04 jul 01

Kerajaan Negeri juga akan menyediakan garis panduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk digunakan semasa menyediakan pelan laluan pengangkutan awam.

“Kerajaan Negeri dan PBT memang tidak ada kuasa untuk mengeluarkan lesen untuk laluan pengangkutan awam seperti laluan bas awam.

“Dalam pelan pembangunan lima tahun bersama PBT, kita telah bincangkan dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menyediakan bas perbandaran.

“(Tetapi) kelulusan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diperlukan,” kata Chang Kim semasa menjawab usul yang dibawa Adun Bukit Gasing Rajiv Rishakaran di dalam Dewan Negeri Selangor hari ini.

Usul Rajiv menggesa Kerajaan Negeri agar memperhebatkan pembangunan pengangkutan awam di seluruh Selangor bagi mengurangkan kesesakkan lalulintas.

Chang Khim berkata perselisihan kuasa antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan boleh dilihat di dalam kes terminal bas baru di Klang yang sepatutnya menggantikan perhentian bas lama di tengah bandar Klang.

” … Untuk memindahkan terminal bas ke kawasan baru walau diluluskan pada zaman Umno-BN tetapi SPAD tidak meluluskan.”

Chang Khim juga berkata adalah kurang tepat untuk membandingkan antara Selangor dan bandaraya negara lain seperti Singapura, Hong Kong, Jakarta dan Bangkok yang melaksanakan sistem pengangkutan awam yang berkesan.

“Dari segi ekonomi memang dapat melakukan pembangunan kerana kuasa dimiliki berbeza.

“Mereka mempunyai hasil mencukupi untuk menanggung segala perbelanjaan namun di Malaysia pendapatan negeri diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan dengan sebahagian sahaja kekal dalam bentuk geran untuk negeri.

“Selangor mempunyai lima juta penduduk dengan 12 PBT nak sediakan rangkaian pengangkutan awam memang sukar,” katanya.

Tiada ulasan: