PRK Dun Kuala Besut

KUALA LUMPUR - "Saya kenal calon ini Che long (Azlan) dan saya rasa dia pilihan terbaik untuk Pas Besut."

Keyakinan itu disuarakan oleh ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz apabila diminta menyatakan pandangannya tentang calon Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Dun Kuala Besut, 24 Julai ini.

"Saya yakin masyarakat Besut  akan menerima beliau," katanya lagi ketika ditemui Sinar Harian Online, di lobi Parlimen hari ini.

Dengan nada yakin, Nik Abduh menambah, calon Pas ini mampu memberikan kejutan.

"PRK kali ini sudah pasti sengit.

"Walaupun kita kalah lebih 2,000 undi pada PRU13 lalu kita yakin kita mampu membuat kejutan kerana  PRK adalah berbeza dengan PRU," ujarnya yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas.

Che Long atau nama sebenarnya Azlan@ Endut Yusof, 48, merupakan seorang kontraktor Kelas A dan merupakan anak jati Kuala Besut.

Beliau juga merupakan Bendahari Pas Kawasan Besut.

Dalam perkembangan sama, Nik Abduh berkata, Pas tidak mempunyai sebarang halangan untuk berkempen pada bulan Ramadan.

"Saya ingat kita selesa sebab bagi Pas ini peluang terbaik bagi kita untuk  mendekati masyarakat.

"Pada bulan puasa masyarakat tumpu perhatian pada isu ibadah dan puasa, jadi kempen kita lebih mudah," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, PKR akan sama-sama berjuang bagi memenangkan calon Pas di kerusi terbabit.

"Semua jentera termasuk PKR akan melakukan yang terbaik untuk mendokong dan memenangkan calon PR di Kuala Besut," katanya.

Naib presiden PKR ini turut menyatakan kekecewaannya apabila pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekarang masih diberi tanggungjawab mengendalikan PRK walaupun kredibiliti mereka dipertikai.

"Mereka harus letak jawatan, kerana kegagalan mereka dalam mengendalikan PRU13 lalu.

"Jadi PR agak kecewa dalam hal ini," katanya.