Ahad, 21 Julai 2013

BN umum projek serta-merta bila PAS bersuara

Salmiyah Harun,


BESUT: Tindakan drastik kerajaan mengumumkan projek-projek yang mencecah ratusan juta dalam masa sepuluh hari buat penduduk Kuala Besut merupakan usaha dan kejayaan PAS.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli berkata pendedahan demi pendedahan yang dibuat PAS ternyata membuatkan kerajaan terus menunjukkan keperihatinan mereka terhadap nasib pengundi di Kuala Besut.

Misalnya kata beliau pendedahan kerosakkan Empangan Lowier di Pengkalan Nangka yang menjejaskan 400 keluarga terus mendesak kerajaan meluluskan segera peruntukan RM35 juta untuk membuat empangan yang baru.

"Jika tidak didedahkan ternyata Umno BN kesampingkan apa yang diperlukan di sini (penduduk Kuala Besut),"katanya dalam sidang media di Markaz Besar PAS PRK Kuala Besut di Kampung Baru.

Jelasnya, sebaik PAS membangkitkan isu ini ternyata kerajaan Umno BN dapat menyelesaikan masalah ini dalam masa sehari sedangkan ianya pernah dibangkitkan sejak dua tahun lepas.

Mengulas sama ada pengundi Kuala Besut terus termakan budi dengan usaha drastik kerajaan ini, Hatta berpendapat ianya tidak sekali-kali akan mempengaruhi pengundi.

Malah katanya, pengundi akan berterima kasih kepada PAS dan akan memberi undi kepada PAS pada 24 Julai ini.

"Kita akan menjangkakan tempat-tempat yang kita kuat akan bertambah baik," katanya.

Justeru katanya, PAS telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk rakyat khususnya di Kuala Besut yang ternyata dipinggirkan oleh kerajaan BN.

"Sebenarnya apa yang dibuatkan oleh kerajaan dalam masa berkempen ini adalah kredit bagi kami," katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM35 juta untuk membuat empangan baru menggantikan Empangan Lowvier.

Terdahulu, sudah sembilan projek yang dijanjikan oleh kerajaan BN buat penduduk Kuala Besut termasuklah projek mendalamkan Sungai Besut bernilai RM250 juta, membina pangsapuri empat tingkat di Kampung Lay Out bernilai RM10 juta, projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi Tok Saboh bernilai RM28 juta dan projek masjid terapung dengan kos RM12 juta.

Rezeki penduduk Kuala Besut datang mencurah-curah apabila kerajaan tidak putus-putus menabur projek-projek yang mencecah ratusan juta dalam masa sepuluh hari.

Tiada ulasan: