Jamil Khir Baharom
Datuk Seri Jamil Khir Baharom 
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan masih belum mendapat apa-apa maklumat daripada Arab Saudi berhubung pembekuan visa untuk mengerjakan umrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberitahu, setakat ini hanya 20 peratus pengurangan jemaah haji diumumkan berikutan kerja naik taraf di Masjidil Haram, di Makkah.

"Pengurangan 20 peratus itu bukan sahaja untuk negara kita, tapi untuk (negara-negara lain) seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan kesihatan jemaah haji Malaysia.

Katanya, jemaah haji diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengambil ubat serta suntikan vaksin sebelum berangkat ke Tanah Suci (dan semasa di sana).

“Kerajaan Malaysia bukan hanya ambil langkah berjaga-jaga bila ada penyakit datang, tapi setiap masa,” katanya selepas majlis Pembentangan Dapatan Kajian Pemacuan Transformasi Sistem Perundangan Islam di Malaysia, semalam.

Jamil Khir mengulas penularan virus sindrom pernafasan Asia Barat (MERS) di Arab Saudi yang dilaporkan melibatkan 88 kes, 33 melibatkan kematian, sejak September lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga ini, Kuala Lumpur belum menerima sebarang maklumat dari Jeddah mengenai penularan virus yang membawa maut itu.

Jamil Khir meminta agensi pelancongan atau pengembaraan yang menawarkan pakej umrah supaya hanya menetapkan tarikh berangkat ke Tanah Suci selepas permohonan visa diluluskan kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata, ini penting untuk elak insiden jemaah terkandas dan tidak dapat melakukan umrah walaupun telah melunaskan bayaran.

“Ada agensi atur tarikh berangkat untuk umrah walaupun visa tak keluar lagi. Syarikat ini harus faham bahawa Arab Saudi ada sistem pengeluaran visa, yang mana mereka perlu pastikan jumlah permohonan tidak melebihi jumlah sepatutnya,” katanya.