Selasa, 2 Julai 2013

Apa kriteria untuk pilih Pengerusi Tabung Haji

Muhammad Faizal,


KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan menjelaskan kriteria serta syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk pemilihan seseorang bagi memegang jawatan Pengerusi Tabung Haji.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang ditemui di lobi parlimen berkata, perkara itu amat penting kerana Tabung Haji merupakan tabung amanah yang dipertanggungjawabkan oleh penyimpan (orang Islam) untuk diuruskan dengan lebih baik.

"Kita tidak mahu isu yang dibangkitkan sebelum ini berkenaan Tabung Haji ini berulang kembali, amanah rakyat perlu ditunaikan bukannya mengkhianati," ujarnya.

Naib Presiden PAS itu turut mepertikai tindakan kerajaan seolah-olah menggunakan konsep 'tangkap muat' dalam mengisi jawatan-jawatan penting di dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Menurutnya lagi, tindakan itu umpama ‘balasan’ kepada ahli parlimen yang tidak dilantik sebagai timbalan menteri atau menteri bagi ‘membantu’ mereka menambah pendapatan.

"Saya tidak mempertikaikan lantikan dari kalangan ahli-ahli parlimen tetapi yang penting adalah ketelusan serta syarat-syarat wajib bukannya sebagai balasan akibat tidak dilantik mengisi jawatan dalam kabinet.

"Kebimbangan saya adalah apabila kita tidak membuat satu tapisan, sudah pasti hala tuju Tabung Haji itu masih lagi berada dalam keadaan yang samar.

"Kita perlu melihat bagaimana Tabung Haji dibentuk peringkat awal, susah payah mereka yang terlibat pada peringkat sekarang dan masa akan datang. Perkara ini bukannya boleh dipandang mudah, misi dan visi perlu jadi agenda utama," sambung beliau lagi.

Beliau yang menegaskan isu pemilihan pengerusi ini perlu diperjelaskan oleh kerajaan kerana kedudukan Tabung Haji bergantung kepada pengerusi yang dilantik.

"Kalau sekadar untuk mempengerusikan mesyuarat saya rasa baik pilih Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Ini bukan soal untuk mempengerusikan mesyuarat tetapi macam mana kita nak bawa Tabung Haji pada masa akan datang serta mengembalikan kegemilangannya," kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim diumumkan sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji  yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Tabung Haji dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan Abdul Azeez itu bagi menggantikan Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor yang telah berkhidmat sejak Ogos 2007.

Tiada ulasan: