Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 
SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia tidak sepatutnya mengikut telunjuk dan mencontohi sikap 'dingin' kerajaan Amerika Syarikat dalam membuat pendirian berhubung kezaliman dan pembunuhan umat Islam di negara bergolak timur tengah khususnya Syria dan Mesir.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan Malaysia masih berdiam diri dalam isu kemanusiaan itu yang bukan sahaja telah meragut hak demokrasi malahan nyawa-nyawa rakyat yang tidak berdosa.

"Bila 150 ribu umat Islam dibunuh oleh regim Bashar al-Assad, kita umat dan kerajaan patut buat pendirian bersama, dia (kerajaan) tidak sepatutnya menunggu arahan atau mengikut kiblat Amerika Syarikat sebelum buat keputusan.

"Bila Amerika diam, kita pun diam, maknanya kita tak bebas utk tentukan keadilan dan kesaksamaan untuk saudara Islam kita di sana," katanya kepada Sinar Harian Online selepas ceramah umum daripada wakil khas ulama terkenal dari Syria, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Sheikh Dr Yusuf al-Qardhawi yang membidas beberapa negara Arab yang telah menyokong kerajaan interim Mesir khususnya pelantikan Andly Mansour sebagai presiden bagi menggantikan Mohamed Mursi.

Dalam pada itu, Anwar sekali lagi mengulangi pendirian PR yang mengutuk kezaliman tentera Syria dan Mesir yang telah merampas hak demokrasi rakyatnya dalam menentukan pentadbiran negara timur tengah itu.

"Kita tidak boleh mengizinkan kezaliman ini, biar rakyat putuskan, saya tahu inisiatif yang dibuat oleh Turki yang menjelaskan sebenarnya ikhtiar untuk mencari pendamaian, tapi regim yang mewakili sistem diktator Bashar Assad tidak akan dengar.

"Oleh yang demikian kita masih terus menyebarkan dan tahniah kepada Ikram kerana ambil inisiatif ini dan perwakilan daripada para ulama yang diutuskan atas ihsan Dr Yusuf Al-Qardhawi itu harus kita sampaikan dan mudah-mudahan umat Islam secara apa wang derma semua untuk membantu dan mendoakan kejayaan mereka," tegasnya lagi.