Khamis, 25 Julai 2013

Alvin, Vivian Dibenar Ikat Jamin RM30,000 Seorang

MSTAR ONLINE

Alvin dan Vivian yang mempersendakan bulan Ramadan dikecam pelbagai pihak.
 
KUALA LUMPUR: Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee yang ditahan di penjara, akan dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 setiap seorang dengan dua orang penjamin.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin yang membenarkan permohonan mereka bagi semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Mohd Azman membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Chong Joo Tian yang mewakili pasangan berkenaan dan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

"Setelah mahkamah menyemak perintah Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman, mahkamah memberi jaminan RM10,000, masing-masing kepada kedua-dua pemohon dengan dua orang penjamin bagi setiap pertuduhan," kata hakim itu.

Alvin yang ditahan di Penjara Sungai Buloh dan Vivian di Penjara Kajang menghadapi tiga pertuduhan.
Mereka tidak hadir di mahkamah pada Khamis.

Mohd Azman turut mengenakan empat syarat tambahan kepada mereka, iaitu pasangan itu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah turut melarang mereka memuat naik artikel, komen, gambar lucah atau jelek serta apa-apa bentuk penulisan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.

Selain itu, mereka juga dihalang daripada menggunakan peranti komunikasi berangkaian bagi mengakses Internet untuk memuat naik gambar, komen dan artikel yang boleh menghasut dan menimbulkan permusuhan antara kaum.

Bagaimanapun, Mohd Azman mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen supaya ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi pasangan itu dibicarakan bersama selepas mendapati ia melibatkan transaksi dan saksi sama. - BERNAMA

Tiada ulasan: