Menteri KKM, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bukan sahaja kumpulan sukarelawan tersebut tetapi beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk bersama-sama membantu menangani unsur negatif di alam siber.
Ahmad Shabery berkata, tindakan itu sangat baik kerana ia dapat membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menangani perkara negatif di alam siber.
Menurut beliau, sekiranya terdapat pihak yang memainkan peranan memantau dan melaporkan kepada SKMM, ia sekurang-kurangnya dapat membantu suruhanjaya tersebut.
Katanya, tugas SKMM bukan tertumpu untuk mencari pesalah sebaliknya berdasarkan laporan dibuat oleh orang ramai.
“Baguslah begitu…itu satu perkara yang baik sebab jenayah dilakukan melalui dunia siber terlalu luas.
“SKMM hanya ada beberapa belas orang yang bertugas untuk memantau penggunaan siber. Jadi kalau ada orang nak memantau dan buat laporan memang kita alu-alukan. Tiada masalah,” katanya selepas mengadakan lawatan ke lima buah rumah di Kampung Gertak Seratus di Kuala Besut di sini, hari ini sambil mengadakan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh Kelab Umno Luar Negara.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kumpulan sukarelawan itu yang mahu memantau serta menyalurkan maklumat termasuk ‘screenshot’.
Sebelum ini, negara digemparkan dengan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee yang mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar yang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, di laman Facebook mereka.
Pasangan itu memaparkan gambar di laman Facebook kononnya mereka sedang menikmati makanan yang tidak halal dengan kapsyen "Selamat berbuka puasa dengan Bak Kut Teh... Wangi, enak dan menyelerakan!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan