Lima ibu pejabat negeri Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak lagi beroperasi pada setiap hujung minggu mulai hari ini.

Menurut kenyataan JPN, penutupan itu bagi membolehkan guna tenaga pekerja dimaksimumkan di pejabat yang mempunyai pejabat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang beroperasi tujuh hari seminggu.

Penutupan itu melibatkan JPN Kuala Lumpur di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Seri Hartamas, JPN Melaka di Ayer Keroh, JPN Pahang di Kompleks KDN Indera Mahkota, Kuantan, JPN Perak di Kompleks KDN Ipoh dan JPN Kedah di Kompleks KDN Alor Setar.

JPN juga akan memberhentikan operasi pada waktu rehat tengah hari setiap Jumaat mulai 12.15 petang hingga 2.45 petang bagi menghormati waktu solat Jumaat.

Untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi pejabat perkhidmatan pelanggan di talian 03-88808203/7077/7071/7067.- Bernama