Mahkamah
Mahkamah Kota Kinabalu - Gambar Hiasan
 
KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17-27 September bagi perbicaraan 30 individu - 27 warga Filipina dan tiga rakyat Malaysia - yang didakwa dengan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah.
  
Mengambil kira jumlah yang dituduh yang akan dibicarakan bersama, Hakim P. Ravinthran menetapkan Pusat Pasukan Gerakan Am di Kinarut, sebagai tempat perbicaraan.
  
Beliau juga berkata tempoh perbicaraan memadai memandangkan pendakwaan akan memanggil sekurang-kurangnya 50 saksi.
  
Daripada tiga rakyat Malaysia itu, seorang wanita menghadapi hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan, kerana didakwa memberi perlindungan kepada sekumpulan pengganas.
  
Dua lelaki tempatan itu pula didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan yang didakwa dilakukan oleh warga Filipina itu pula termasuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan kerana menjadi anggota kumpulan pengganas.
  
Sementara itu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu mahkamah bahawa warga Filipina berkenaan menghantar surat kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak supaya membatalkan pelantikan peguam oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
  
Beliau berkata warga Filipina itu meminta peguam mereka dilantik oleh kerajaan Filipina.
  
Ravinthran berkata beliau akan membuat keputusan selepas membaca surat itu.- Bernama