Selasa, 11 Jun 2013

Mahathir perlu cermin diri, UMNO untuk kenal pasti siapa sebenarnya ‘rasis’

 Oleh Lim Kit Siang 
(Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah)

 

SEPANJANG kerjaya Dr Mahathir yang berliku-liku sebagai ahli politik, beliau sentiasa mencari ‘kambing hitam’ untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kekurangan beliau sendiri, kekurangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Nampaknya beliau sekali lagi melakukan perkara yang sama dengan menyalahkan kaum Cina dan juga DAP berikutan melebarnya jurang perkauman di Malaysia dan menuduh kedua-duanya sebagai ‘cauvinis’.

Kita hanya boleh meneka sama ada serangan bertubi-tubi Dr Mahathir terhadap kaum Cina dan DAP pasca-PRU-13 adalah didorong oleh prejudis buta beliau sendiri atau kerana beliau merasa bimbang kalau-kalau pencapaian beliau yang sebenar selama ini akan didedahkan kepada umum jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, atau kerana usianya yang semakin lanjut atau barangkali kerana semua perkara di atas.

Yang kita tahu secara pasti ialah tuduhan beliau tentang DAP sebagai sebuah parti cauvinis yang memainkan sentimen perkauman untuk menarik sokongan Cina daripada BN semuanya tidak lain adalah pembohongan yang amat jauh daripada kenyataan.

Dr Mahathir mengatakan bahawa “Ketika ia (DAP) mengadakan pemilihan untuk Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti tidak lama dulu, semua anggota yang terpilih adalah Cina, kecuali Karpal Singh.”

Kenyataan itu menunjukkan betapa beliau mengabaikan sama sekali fakta dalam usahanya untuk melabel DAP sebagai sebuah parti ‘cauvinis’, sedangkan, cukup jika Dr Mahathir menggunakan ‘google’ untuk mengetahui bahawa M Kulasegaran (Ahli Parlimen Ipoh Timur), Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Puchong) dan Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera) semuanya terpilih ke CEC.

Rekod yang ada juga jelas menunjukkan bahawa sejak DAP ditubuhkan pada 1966, sentiasa ada pemimpin India atau Melayu yang terpilih menganggotai CEC pada setiap kali pemilihan parti.

Andai Dr Mahathir meluangkan sedikit saja masa untuk menyemak senarai nama pemimpin DAP kini dalam laman web parti, beliau akan melihat ada Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan yang menjadi anggota CEC DAP.

Dr Mahathir tidak harus menuding telunjuk kepada DAP, beliau sepatutnya bertanya kepada dirinya sendiri berapa banyak pemimpin bukan-Melayu yang dipilih atau dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO sebagai menjawab pertanyaan siapa sebenarnya rasis.

Memandangkan Dr Mahathir nampaknya tidak mahir menggunakan internet untuk menyemak fakta, atau barangkali beliau kekurangan sumber untuk menggaji seorang pembantu penyelidik yang baik, biar saya bentangkan rekod DAP sebagai sebuah parti berbilang kaum yang telah menyertai 11 pilihan raya umum sejak 1969.

DAP telah meletakkan calon bukan Cina pada setiap pilihan raya umum sejak 1969 baik di peringkat Parlimen dan negeri (lihat Jadual 1 di bawah). Malah, pada beberapa pilihan raya umum, calon Melayu DAP di peringkat Parlimen (1995) dan negeri (1974, 1978, 1982) mengatasi jumlah calon India.

Kecuali pada Pilihan Raya Umum 1999, DAP sentiasa mempunyai sekurang-kurangnya seorang Ahli Parlimen atau ADUN bukan-Cina. Sebelum PRU-13, calon Melayu DAP berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU 1969, 1974, 1982, 1986, dan 1990, di samping memenangi satu kerusi Parlimen pada PRU 1990.

Pada PRU 1969, Ibrahim Singgeh telah menewaskan calon UMNO di N 39 Tapah, Perak, manakala Haji Hassan Haji Ahmad telah menewaskan calon UMNO di N 14 Si Rusa, Negeri Sembilan.

Pada PRU 1974, Daing Ibrahim Othman telah menewaskan calon MCA di N 23 Pasir Puteh, Perak. Pada PRU 1982, Mohd Fadzlan Yahya mengalahkan calon MCA di N 37 Pasir Bedamar, juga Perak. Beliau mengekalkan kerusinya pada PRU 1986.

Pada PRU 1990, Ahmad Nor menjadi Ahli Parlimen Melayu DAP yang pertama apabila menewaskan calon MCA di P 47 Bayan Baru dan pada pilihan raya umum yang sama, Fadzlan Yahya menewaskan calon MCA di N 24 Lahat, Perak, manakala Mohd Asri menewaskan calon Gerakan di N 19 Dermawan, juga di Perak.

 
*Termasuk Serani ** Bumiputera Sabah dan Sarawak

DAP mengorak langkah pada 2013 dengan meletakkan 7 calon Parlimen daripada kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Malah, DAP telah meletakkan lebih banyak calon Bumiputera Sarawak (6) berbanding calon Cina (5) di Sarawak.

DAP juga mencatat pencapaian baru pada 2013 dengan terpilihnya dua calon Melayu DAP sebagai Ahli Parlimen (Zairil Khir Johari di Bukit Bendera, Pulau Pinang, dan Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz di Raub, Pahang), seorang ADUN Melayu (Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Mentakab, Pahang) dan seorang ADUN Kadazan (Dr Edwin Bosi di Kepayan, Sabah).

DAP juga kini lebih berkemampuan untuk mewakili suara kaum India kerana parti kini mempunyai lebih banyak Ahli Parlimen berketurunan India (6) dan ADUN (14) berbanding MIC (4 Ahli Parlimen dan 5 ADUN).

Dr Mahathir juga menuduh DAP meletakkan calon Cina sahaja di kawasan yang majoriti pengundinya adalah Cina. Sekali lagi beliau gagal menyemak fakta. DAP telah meletakkan 8 calon Cina di kerusi Parlimen yang majoritinya bukan-Cina, termasuk P 135 Alor Gajah yang 58% pengundinya adalah Melayu. Daripada semua kerusi campuran ini, DAP memenangi 7 kerusi, termasuk P 128 Seremban yang pengundinya 44% Melayu, 41% Cina dan 14% India.

DAP juga meletakkan 12 calon Cina di kerusi DUN yang bukan majoriti Cina, termasuk N1 Titi Tinggi, di Perlis yang 76% daripada pengundinya adalah Melayu dan N14 Kelebang, Melaka, 60% pengundinya Melayu. DAP memenangi 10 daripada 12 kerusi DUN ini, termasuk N11 Derga, di Kedah yang 56% pengundinya adalah Melayu dan N21 Duyong yang 50% pengundinya adalah Melayu.

Secara keseluruhan, DAP telah memenangi 9 kerusi Parlimen dan 17 kerusi DUN di kawasan yang bukan majoriti Cina (pengundi Cina di bawah 50%), termasuk P 80 Raub yang 50% pengundinya Melayu dan N 30 Mentakab yang juga 50% pengundinya Melayu. Kedua-dua kerusi itu dimenangi calon Melayu DAP.
Sebaliknya, daripada 73 kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO di Semenanjung Malaysia, hanya 2 yang memiliki majoriti bukan-Melayu (Pasir Gudang dan Pulai, di Johor) (Melayu kurang daripada 50%). 

Daripada 210 kerusi DUN yang dimenangi UMNO di Semenanjung Malaysia pula, hanya 3 kerusi yang majoriti pengundinya bukan-Melayu (N 5 Tenang, N 27 Layang Layang dan N 49 Nusa Jaya) (Melayu kurang 50%). Tiada satu pun kerusi yang majoriti pengundinya Cina dimenangi UMNO). Jika Dr Mahathir mahu menuduh calon Cina DAP bertanding hanya di kerusi majoriti Cina, barangkali elok jika beliau terlebih dahulu melihat kepada UMNO dan bertanya mengapa UMNO hanya bertanding di kerusi yang majoriti pengundinya Melayu. Malah, satu-satunya kawasan majoriti Cina yang ditandingi UMNO ialah Gelang Patah, tempat saya bertanding, ketika parti itu ‘mengorbankan’ bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman dengan menghantar beliau untuk bertanding di kawasan yang 52% pengundinya adalah Cina.

Kenyataan yang kononnya “tidak terbantah” yang disebut Dr Mahathir, iaitu bahawa “DAP telah berjaya memusnahkan kerjasama atau perkongsian di antara kaum yang berlainan seperti yang telah ditunjukkan menerusi pakatan BN” tidak lain adalah khayalan. Kenyataan yang sebenarnya tidak dapat dibantah ialah bahawa dalam BN tidak ada kerjasama sebenar, yang ada sebaliknya hanya dominasi UMNO. Ini dapat dilihat pada PRU-13 yang baru berlalu apabila MCA dipaksa untuk memberi tiga kerusi Parlimennya kepada UMNO – Kuantan, Wangsa Maju dan Gelang Patah – semuanya jatuh di tangan UMNO. Setiap kali UMNO menyuruh parti dalam BN melompat, mereka bertanya “setinggi mana?”. Dominasi UMNO ini akan semakin kukuh memandangkan ia telah hilang keyakinan terhadap rakannya dalam BN untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan.

Dr Mahathir ternyata semakin khayal apabila ia mengatakan “Pakatan Rakyat bukan sebuah pakatan sebenar.” Di kalangan parti Pakatan Rakyat, tidak ada parti yang dominan. PKR, DAP, dan PAS adalah rakan kongsi yang setaraf dalam Pakatan Rakyat, tidak seperti parti dalam BN. Tidak seperti dalam BN, rundingan di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat adalah rundingan tulen. Pemilihan Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dibuat secara sebulat suara oleh parti Pakatan Rakyat walaupun PKR bukan parti yang paling banyak memenangi kerusi Parlimen. PAS dan DAP menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor walaupun kedua-dua parti ini menang lebih banyak kerusi (setiap satu parti memenangi 15 kerusi) daripada PKR (14 kerusi). Ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat telah berjaya menambah bilangan kerusi pada PRU-13 dan kenyataan ini sengaja dilupakan oleh Dr Mahathir. Tiada satu pun parti dalam Pakatan Rakyat berhasrat untuk ‘mendominasi’ politik dalam Pakatan, apatah lagi di peringkat kebangsaan seperti yang didakwa Dr Mahathir.

Dr Mahathir sepatutnya menuding jari kepada dirinya sendiri dan UMNO serta BN kerana menyebabkan jurang kaum semakin lebar. Dr Mahathir yang memainkan peranan di belakang tabir sebagai penasihat Perkasa bagi semua pemimpin Perkasa – Zulkifli Nordin dan Ibrahim Ali – yang bertanding sebagai calon de facto dalam PRU-13. Utusan Malaysia pula memainkan sentimen perkauman untuk menyemarakkan kebimbangan orang Melayu dengan mencipta pembohongan dan cerita rekaan mengenai DAP. MCA pula menerbitkan iklan dalam akhbar Inggeris dan Cina, selain dalam stesen radio Cina untuk melebarkan jurang di antara kaum Cina dan Muslim di Malaysia.

Hanya pada satu perkara saya dapat bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir iaitu bahawa “jurang perkauman telah menjadi semakin jelas” dan bahawa “ia akan menjadi lebih jelas di masa depan.” Kesalahan harus diletakkan sepenuhnya di bahu pemimpin BN, termasuk pemimpin di masa lalu seperti Dr Mahathir.

Satu-satunya cara untuk kita menghindari “polarisasi kaum” bukanlah dengan terus menyokong BN, sebaliknya dengan melihat kepada Pakatan Rakyat sebagai harapan untuk masa depan dan melihat parti PKR, PAS, dan DAP sebagai parti berbilang kaum yang telah meletakkan calon yang berbilang kaum ketika PRU-13 dan akan terus memperjuangkan hak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bahasa, agama dan latar belakang.-Roketkini.com

Tiada ulasan: