Roketkini.com
SUNGAI
SIPUT- Presiden MIC, Datuk G Palanivel diminta tidak ‘bermain
drama’ dengan mengugut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul
Kadir dengan mengatakan MIC tidak akan menerima sebarang jawatan jika
wakil mereka tidak dilantik menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN)
Perak.
Sebaliknya, beliau dicabar membuktikan kesungguhannya
dengan berikrar meletakkan semua jawatan yang diwakili MIC di semua
peringkat negeri dan Pusat jika hasratnya itu tidak tercapai.
Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar
menganggap ‘ugutan’ Presiden MIC itu tidak berasas malah melucukan
kerana selama ini pun UMNO tidak pernah menghormati MIC sebagai sekutu
baiknya.
“Kita kena faham realiti. Jawatan Speaker yang diberi
kepada wakil MIC, Datuk R Ganesan sebelum ini semata-mata untuk
menggantikan saya supaya tidak timbul reaksi hangat masyarakat India
kononnya untuk menjaga hati kaum mereka.
“Dalam kata lain, MIC juga diperbodohkan UMNO dalam
permainan kotornya untuk menipu masyarakat India,” jelas Sivakumar
sambil menimbulkan persoalan siapakah bakal menjadi Speaker Perak pada
penggal 2013 ini.
Menurut beliau, MIC juga tidak boleh berbangga dengan
jawatan Speaker sebelum ini kerana ia adalah ‘sedekah’ daripada Kerajaan
Pakatan Rakyat Perak yang dirampas Barisan Nasional (BN) secara tidak
demokratik.
“MIC tidak berani menuntut jawatan itu sebelum ini. Hanya
selepas saya dipilih sebagai Speaker Perak, baru sekarang MIC berani
menuntut jawatan itu. Perkara itu amat menyedihkan dan memalukan,”
katanya.
Sivakumar juga mempertikaikan mengapa Palanivel hanya berani mengugut menuntut jawatan Speaker di negeri Perak sahaja.
“Mengapakah beliau tidak berani menuntut jawatan yang sama
di Johor, Pahang, Perlis, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan. Adakah
beliau juga berani untuk mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak memberikan sekurang-kurangnya jawatan Timbalan Speaker kepada
seorang pemimpin MIC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan