Tokoh seni Dondang Sayang, Nyonya Tan Abdullah meninggal dunia awal pagi ini selepas bertarung dengan penyakit.
  
Menurut kenyataan Jabatan Warisan Negara, tokoh seni itu meninggal dunia pada pukul 1 pagi tadi di Hospital Pantai, Ayer Keroh, Melaka pada usia 62 tahun.
  
Berketurunan peranakan baba nyonya, Nyonya Tan bergiat aktif dalam seni Dondang Sayang selama lebih 40 tahun dan pernah merakamkan tiga buah album.

Beliau juga pernah membuat persembahan di Paris di bawah panji Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sempena pengisytiharan Melaka Bandaraya Warisan Dunia.
  
Kegigihannya memperjuangkan seni budaya telah diberi penghormatan dan diangkat sebagai Warisan Kebangsaan Orang Hidup pada 10 Mei lepas, menurut kenyataan itu.

Antara anugerah yang pernah beliau peroleh adalah Johan Pesta Dendang Rakyat 1976, Pingat Bakti Masyarakat (P.B.M), Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T), Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K), Tokoh Penggerak Budaya Negeri Melaka dan Anugerah Artis Sepanjang Zaman bagi kategori Dondang Sayang pada 2006 oleh Persatuan Penyanyi Penyanyi Tanah Air (Papita).
  
Mengucapkan takziah atas pemergian Nyonya Tan, Jabatan Warisan Negara turut menyifatkan kematian tokoh seni itu sebagai satu kehilangan kerana beliau mempunyai semangat tinggi mengekalkan warisan negara malah amat disenangi
masyarakat.
  
"Kecintaan yang mendalam dalam seni Dondang Sayang mendorong beliau menurunkan bakat dan menjadi aspirasi generasi muda masa kini," kata kenyataan itu.- Bernama