Rabu, 8 Ogos 2012

Timbermine: Tok Guru mohon rakyat solat syukur

Rizal Tahir,
 
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memohon pemimpin dan rakyat negeri ini menunaikan solat sunat syukur berikutan keputusan mahkamah dalam kes saman Timbermine terhadap Kelantan kelmarin.

Perkara itu disampaikan Tuan Guru melalui Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan kepada Harakahdaily hari ini.

“Saya mewakili kerajaan negeri dan PAS Kelantan mengucapkan terma kasih kepada jawatankuasa bertindak kes ini dan juga team peguam yang bertungkus-lumus mempertahankan kerajaan negeri,”ujarnya.

Isnin lalu Mahkamah Rayuan Malaysia telah mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mengarahkan Kelantan membayar RM560 juta (RM1.2 bilion termasuk faedah) kepada Syarikat Timbermine Sdn Bhd.

Pada awal tahun lepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan kerajaan negeri membayar membayar RM800 juta kepada Timbermine sebagai ganti rugi termasuk RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat dalam kawasan pembalakan seluas 112,000 hektar.

Selain itu ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja yang diberhentikan (RM1.74 juta), faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000.

Syarikat mengemukakan saman ekoran perjanjian yang dibuat pada 1964 dibatalkan pada Mac 1975 oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohamed Nasir.

Ekoran itu kerajaan Kelantan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Tiada ulasan: