Sabtu, 4 Ogos 2012

Syarikat kroni MIC buat tuntutan palsu terhadap AIMST

Oleh Mohd Martin Kahar


KUALA LUMPUR : Setiausaha Biro Polisi dan Strategi KEADILAN, S Gobi Krishnan mendedahkan, Jaya Cafe Holdings Sdn Bhd telah mengemukakan tuntutan palsu sebanyak RM90,000 kepada Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) dalam perkhidmatan kafeteria.

Menurut Gobi, berdasarkan laporan audit bertarikh 18 Mei 2009, tuntutan palsu itu dibuat sejak kampus AIMST dibuka mulai 2008.

“Ketika kampus ini dilancarkan, perkhidmatan katering dibekalkan oleh syarikat lain iaitu Eden Catering Sdn Bhd melalui syarikat pengurusan acara iaitu Scoop Event Sdn Bhd.

“Invois daripada Scoop Event dan invois tuntutan palsu Jaya Cafe akan didedahkan pada sidang media akan datang,” katanya.

Gobi berkata, berdasarkan laporan audit lain bertarikh 18 Januari 2010, Jaya Cafe diberi layanan istimewa oleh Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan AIMST dalam perkhidmatan kafeteria.

Jaya Cafe dibayar RM300 sebulan untuk membekalkan makanan tiga kali sehari kepada setiap pelajar, bagaimanapun pelajar hanya membayar RM240. Selebihnya disubsidi oleh MIED.

Jumlah subsidi yang diberikan MIED kepada Jaya Cafe berjumlah RM1,966,500 pada 2007, 2008 dan 2009.

“Mengapa perlu diberi subsidi kepada Jaya Cafe sedangkan keuntungan syarikat itu melebihi 60 peratus? Soalan ini saya tujukan kepada Naib Canselor AIMST, Prof Dr Charles Smales,” katanya.

Gobi berkata, kerja-kerja pembersihan sepatutnya dilakukan oleh Jaya Cafe, tetapi ia dibuat Sunway Cleaners Sdn Bhd dan dibayar oleh MIED berjumlah RM192,000 pada 2008 dan 2009.

Menurut beliau, MIED juga membayar RM826,400 untuk pembinaan peralatan dapur komersial AIMST, tetapi ia digunakan oleh Jaya Cafe secara percuma.

Selain itu, pekerja syarikat tersebut menghuni kediaman pelajar secara percuma sejak 2007 hingga 2009 menyebabkan AIMST dan MIED kerugian RM111,825.

“Pengaudit juga mempersoalkan mengapa keistemewaan diberi kepada Jaya Cafe,” kata Gobi.

Gobi pada 25 Julai lalu memberitahu, kontrak mengendalikan kafeteria berkenaan diberikan kepada Ketua Pemuda MIC Penang, J Dhinagaran iaitu pemilik Jaya Cafe Holding Sdn Bhd tanpa tender terbuka pada 2007 hingga membolehkan syarikat itu memperoleh keuntungan sehingga RM20 juta setahun.

Tiada ulasan: