Selasa, 14 Ogos 2012

Sokong kempen Internet Blackout

Harakahdaily,

(Kempen internet blackout bagi membantah Seksyen 114A)

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menyokong kempen “Hari Internet Blackout” yang diusahakan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia sebagai bantahan terhadap Seksyen 114A pindaan terbaru Akta Keterangan 2012.

Ketika Harakahdaily mengambil pendekatan menyiarkan iklan 'pop up' kempen ini, pelbagai media lain terus tidak mengemaskinikan sebarang kandungan laman masing-masing hari ini.

Dap mengambil sikap menghentikan terus sebarang aktiviti melalui laman web, twitter dan facebooknya hari ini.

Media Selangorku, laman web rasmi kerajaan negeri Selangor pula tidak menyiarkan sebarang berita bermula awal pagi ini hingga ke tengah malam esok.

Sebagai pengamal media yang telus dan bertanggungjawab, Media Selangorku berpendapat Pindaan terhadap Akta tersebut yang diwartakan 31 Julai lalu akan menyekat kebebasan media internet, kata satu kenyataan dalam laman itu hari ini.

Menurut CIJ Seksyen 114A jelas bercanggah dengan prinsip asas keadilan yang menyatakan bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahannya.

Pindaan yang baru ini boleh mendatangkan kesan-kesan yang negatif kepada seluruh pengguna internet dan pihak yang terlibat dalam industri tersebut.

Setiap pemiliki akaun Facebook, Twitter, blog atau forum akan dipertanggungjawabkan atas setiap isi kandungan yang terdapat di laman-laman tersebut, termasuk komen dan artikel yang ditulis oleh pihak lain.

Selain itu, pembekal perkhidmatan Wifi juga akan dikenakan tindakan jika ada pihak yang menyalahgunakan perkhidmatan tersebut.

Lebih malang lagi, jika rangkaian Wifi perseorangan dicuri atau digodam, tuan punya rangkaian itu akan bertanggungjawab atas segala yang dilakukan oleh pencuri terbabit.

Jika ada pihak yang mencipta akaun Facebook, Twitter atau emel menggunakan nama seseorang tanpa pengetahuan individu itu, Seksyen 114a masih akan menganggap bahawa beliau pemilik sebenar akaun terbabit.

Akta yang baru dipinda ini sebenarnya bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat daripada mengemukakan pendapat mereka di internet.

Hal ini juga mengancam kebebasan berinternet di negara kita, kata kenyataan dalam laman Selangorku itu.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR pada 9 Ogos lalu, Pakatan menyatakan sokongan penuh terhadap “Hari Internet Blackout”.

"Ia selaras dengan penentangan yang dibuat terhadap Seksyen 114A yang merupakan pindaan terbaru bagi Akta Keterangan 2012 yang menyekat kebebasan berinternet," kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

CIJ berkata kempen ini bertujuan untuk menyedarkan para pengguna Internet tentang kesan negatif pindaan ini terhadap kebebasan berinternet.

Pada hari Internet Blackout tersebut, semua laman web yang mengambil bahagian akan ditutup dan tidak dapat diakses dalam masa 24 jam.

Pengguna juga akan dapat melihat paparan yang mempunyai mesej kempen tersebut apabila cuba mengakses laman web tersebut.

"Kita harap semua penyokong Pakatan Rakyat dan pemimpin turut sama dalam kempen tersebut mengelapkan internet tanpa sebarang informasi.

"Dengan cara ini sahajalah kita dapat menunjukkan kepada kerajaan tentangan kita terhadap akta tersebut," sambungnya lagi.

Tiada ulasan: