Sabtu, 18 Ogos 2012

Situasi petang: Trafik Lebuh Raya Utara-Selatan, LPT bergerak perlahan

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Keadaan trafik di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan bagi kedua-dua arah bergerak perlahan berikutan pertambahan jumlah kenderaan sejak tengah hari tadi, namun masih terkawal.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Bhd berkata di arah selatan, trafik dilaporkan bergerak perlahan dari Seremban menghala ke Nilai dan dari Senai ke Kuala Lumpur ekoran hujan sejak pukul 3.40 petang tadi.

Di arah utara, trafik bergerak perlahan di Ipoh menghala ke Terowong Menora, dari Slim River menuju ke Sungkai sebelum hentian Ladang Bikam arah utara.

"Laluan kontra juga dibuka sejak pukul 3.25 petang tadi dari Km350 hingga Km346.5 arah selatan dari Sungkai ke Bidor sebagai laluan alternatif," kata jurucakap itu.

Jurucakap itu juga melaporkan keadaan trafik di beberapa lebuh raya lain seperti di Plaza Tol Duta dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) bagi kedua-dua arah kekal bergerak lancar.

Sementara itu menurut Twitter Plus, berlaku beberapa kemalangan di arah utara dan selatan, bagaimanapun tiada penutupun lorong dibuat dan trafik bergerak perlahan.

"Pada pukul 3.57 petang, berlaku kemalangan di Km93 dari Sg Petani Utara ke Sg Petani Selatan manakala kemalangan di selatan di Km259.8 arah selatan dari Seremban ke Port Dickson dilaporkan berlaku pukul 3.44 petang.

"Kemalangan di Km157.3 arah selatan dari Bukit Tambun ke Jawi yang berlkau pukul 3.41 petang tadi telah dialihkan dan trafik kembali lancar," katanya.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula melaporkan trafik bergerak perlahan dari Plaza Tol Gombak ke Terowong Karak dan dari Genting Sempah ke Plaza Tol Bentong sejak pukul 1.28 petang tadi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya Plus menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik. - Bernama

Tiada ulasan: