Khamis, 23 Ogos 2012

Sejenak Bersama ADUN Sekinchan

JASIN DAILY

Ng Suee Lim adalah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada golongan yang biasa hadir ke ceramah Pakatan Rakyat di Selangor, Johor dan Melaka. ADUN Sekinchan ini merupakan satu-satunya wakil rakyat berbangsa Tionghua yang mampu bercakap Jawa dengan fasih dan menyebut istilah Arab dengan lancar dalam ceramahnya. Malaysiakini menemubual Ng sebelum Aidil Fitri lalu untuk menelusuri perjalanan politik dan memahami personaliti timbalan setiausaha DAP Selangor ini. Menurut Ng, beliau mula belajar bahasa Jawa apabila bekerja secara sambilan di kantin bapa angkatnya, seorang orang kuat Umno di Kapar yang juga jirannya di Kampung Tok Muda, Batu 12 1/2 selama hampir sepuluh tahun. Beliau mula bekerja sambilan seawal Darjah Lima demi membantu keluarganya yang tidak berpendapatan besar pada masa itu. Kebetulan, bapa angkatnya menggaji ramai orang berketurunan Jawa dan sebagai seorang kanak-kanak, beliau sering dibuli dan dimarahi pekerja lain dalam bahasa Jawa.

 Lama kelamaan beliau memahami butir bicara percakapan pekerja lain dan mula menguasai bahasa itu sedikit demi sedikit. Hubungannya yang sangat akrab dengan keluarga angkat Melayunya turut menyebabkan beliau menghabiskan musim cuti sekolah selama dua bulan dengan tinggal di rumah mereka. "Selesai bekerja, saya tinggal di rumah mereka. Di rumah mereka saya dapat makan ayam. Walaupun rumah saya sebelah sahaja saya tak balik," kata Ng tertawa besar mengimbau sejarahnya. 'Orang Cina takut hudud' Minat Ng dalam politik mula bercambah apabila sering dibawa bapa saudaranya, seorang penyokong tegar Lim Kit Siang ke majlis ceramah dan makan malam DAP. "Dia beli tiket (makan malam DAP) dia akan beli dua. Satu untuk dia dan satu untuk saya," kata Ng yang bertindak sebagai jurubahasa kerana bapa saudaranya hanya menguasai dialek Hokkien dengan baik. Minatnya yang semakin mendalam terhadap politik diteruskan lagi dengan membantu kempen DAP menerusi cawangan Kota, Klang. 

 Malah, Ng pernah membantu kempen Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang pada masa itu merupakan ahli DAP dan bertanding kerusi Kuala Lumpur Bandar (kini Bukit Bintang). Wee Choo Keong kini adalah ahli parlimen bebas selepas berpaling tadah daripada PKR dan Pakatan Rakyat. Menurut Ng, pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 mendorongnya terlibat lebih serius dalam politik. "Saya tengok cara Mahathir layan Anwar pada masa itu saya tak boleh terima, ini zalim," kata Ng yang berikrar untuk menumbangkan Umno dan BN dengan lebih bersungguh-sungguh selepas peristiwa itu.

 Tiga hari sebelum penamaan calon pilihan raya tahun 1999, beliau diminta Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor sekarang, Datuk Teng Chang Khim untuk bertanding di Sekinchan. Satu-satunya sebab Ng diminta untuk bertanding di situ adalah kerana pemimpin DAP tempatan sudah putus asa untuk menang. Tidak cukup dengan itu, satu lagi cabaran baru menanti Ng apabila pemimpin DAP tempatan enggan membantunya kerana beliau bukan anak tempatan dan mereka tidak yakin dengan usianya yang terlalu muda. "Waktu itu dana pun orang (DAP) tak mahu bagi. Ada orang sumbangkan dana masuk ke cawangan tetapi saya kena cari sendiri," kata Ng. Beliau tewas dalam pilihan raya itu dengan majoriti 2044 undi. 

 Bagaimana pun, Ng mendapati kekalahannya adalah kerana kehilangan banyak undi Cina yang pada masa itu dimomokkan dengan ketakutan terhadap undang-undang hudud yang mahu dilaksanakan PAS di Kelantan. Bagi menangani persepsi negatif tersebut, Ng mengambil pendekatan yang unik yang menggabungkan hobinya yang gemar melancong dan kerjayanya sebelum ini. Bina jentera DAP Sekinchan Beliau menganjurkan rombongan untuk orang-orang Cina di Sekinchan melawat Kelantan bagi melihat sendiri negeri itu secara lebih dekat. "Saya dahulu pernah jadi pemandu pelancong sambilan jadi saya buat keputusan anjur lawatan ke Kelantan. "Setiap tiga bulan satu trip saya bawa ke Kelantan. Pergi ke Tumpat tengok patung Buddha terpanjang di Asia Tenggara. "Balik mereka boleh cakap di kedai kopi 'Ini MCA tipulah mana ada di Kelantan tak boleh makan babi'," kata Ng. Pada masa sama, beliau berjaya menanam keyakinan di kalangan sebahagian pemimpin DAP setempat untuk membantunya membina kembali jentera DAP Sekinchan. 

 Beliau yang pada masa itu menetap di Shah Alam berusaha turun ke Sekinchan sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk mendekati masyarakat walaupun kalah dalam pilihan raya. "Kalau ada masalah (setempat) kita panggil wartawan kita dedahkan. Kalau tiada masalah kita minum-minum di kedai eratkan hubungan," kata Ng. Usaha beliau membuahkan hasil apabila pada pilihan raya tahun 2004, beliau menang kerusi Sekinchan. Menurut Ng, sokongan besar kepada BN sewaktu Tun Abdullah Badawi menjadi perdana menteri menyebabkan kerusi yang dimenangi pembangkang di Selangor berkurangan daripada enam kerusi pada tahun 1999 kepada dua kerusi sahaja pada tahun 2004. 

 Malah, beliau sendiri hanya menang dengan majoriti 344 undi sahaja dan menjadi wakil pembangkang dalam DUN Selangor bersama Teng Chang Khim yang menang kerusi Sungai Pinang. Mengambil iktibar daripada kemenangan itu, Ng terus menggunakan strategi yang sama dan berjaya meyakinkan penduduk Sekinchan untuk terus mengundi beliau buat kali kedua pada tahun 2008. "Di luar bandar rakyat mementingkan hubungan silaturrahim di antara satu sama lain," kata Ng. Beliau kini gembira dapat membantu penduduk Sekinchan dalam kapasiti lebih besar sebagai ADUN kawasan itu. Malah, sokongan rakyat Sekinchan terhadap DAP juga semakin baik sekarang ini. "Dahulu kita buat jamuan satu tiket RM25 kita pergi rumah ke rumah empat buah kampung kita jual tiket.

 "Kita cuma mampu jual 60 ke 70 meja sahaja. Sekarang kita jual RM50 satu tiket kita dapat jual sekitar 250 meja," katanya. Ng yang sebelum ini turut pernah terlibat dalam pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dan sektor pembinaan nyata gembira apabila dapat berceramah kepada orang ramai untuk terus menyokong Pakatan Rakyat. "Dahulu pernah meniaga larut malam, sekarang pun meniaga larut malam dengan ceramah politik. "Dalam tiga tahun setengah ini malam-malam saya terus motivasikan mereka (hadirin ceramah)," kata Ng yang ketawa kecil.

Tiada ulasan: