Khamis, 16 Ogos 2012

Saman MBMB terhadap BERSIH 6 hampir dibatalkan

 
Nigel Aw


 
Saman Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terhadap enam peserta BERSIH yang didakwa menyebabkan kerosakan  harta-benda awam semasa protes BERSIH 3.0 di Melaka, hampir dibatalkan apabila peguam MBMB lewat tiba di mahkamah.

NONEKerana ketiadaan peguam plaintif,  Zahari Affendi (kanan) pada pagi ini, Hakim Mahkamah Sesyen Melaka Abu Bakar Katar bertanya sama ada defendan mahu membatalkan kes itu.

Ketika itu, peguam defendan J Armadas memohon penangguhan sebentar untuk memberi masa  kepada Zahari.

Kes itu dibenar diteruskan selepas Zahari tiba sejurus kemudian, tetapi timbul satu lagi masalah selepas didapati hanya seorang sahaja daripada enam defendan - Ketua Wanita MCA negeri Datuk Kian Sit Har -  yang telah diserahkan saman.

Lima lagi yang belum diserahkan saman ialah Khoo Poay Tiong, Philip Chua, Yuhaizad Abdullah, Halim Bachik dan Abd Ghani Abd Rahman.

Kecuali Kian dan Chua yang telah melantik peguam bagi kes itu, yang lainnya yang hadir di mahkamah hari ini dengan memakai kemeja-T BERSIH, mengadu mereka tidak boleh melantik peguam kerana belum menerima saman. Abd Ghani tidak hadir kerana tidak sihat.

NONE"Kami hanya melihat nama kami dalam akhbar. Kami tidak tahu sama ada saman ini merujuk kepada kami atau tidak, tiada nombor (MyKad) atau alamat, "kata Khoo (kiri), yang juga ADUN Ayer Keroh.

Hakim Abu Bakar kemudian meminta supaya saman diserahkan kepada defendan Bagaimanapun, Zahari berkata salinannya tidak cukup untuk diserahkan kepada mereka.

Berikutan ini, kes tersebut ditangguhkan kepada 19 September.

Peguam utama defendan, Ng Kong Peng memberitahu di luar mahkamah bahawa satu perjumpaan akan diadakan untuk membolehkan saman diserahkan secara rasmi sebelum tarikh sebutan akan datang.

Tiada ulasan: