Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Harga saham Felda Global Vantures Holdings
(FGVH) Berhad terus mencatat penurunan sehingga mencecah RM 5.00 awal
pagi semalam.
FGVH yang baru disenaraikan pada 28 Jun lalu diapungkan pada harga
RM4.55 seunit, dan hanya pernah sekali mencecah RM5.50 pada minggu awal
disenaraikan sebelum terus merudum sehingga hari ini.
Menurut Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal KEADILAN,
Suhaimi Said, penurunan harga saham itu secara berterusan akan memberi
kesan jangka panjang yang buruk kepada peneroka Felda.
“Kesan jangka panjang jika saham berterusan merudum, peneroka
menanggung risiko bakal kehilangan 850,000 ekar tanah yang telah
digadaikan kepada FGVH.
“Seperti yang kita telah beritahu, penyenaraian ini bukan untuk
kepentingan peneroka sebaliknya semata-mata untuk pemimpin Umno dan
Felda mengaut keuntungan,” katanya.
Menurut Suhaimi, sewaktu harga saham melonjak pada awal penyenaraian,
Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad telah mengaut keuntungan berjuta
ringgit.
“Isa ada syer sebanyak RM180,000, awal penyenaraian harga saham
melonjak dari RM 4.45 mencecah RM5.39, bayangkan RM180,000 kali 80 sen
berapa jumlah keuntungan dikaut Isa?
“Peneroka pula hanya ada 800 unit saham seorang, itupun dipegang oleh
syarikat pemegang amanah, oleh itu mereka tak boleh jual saham jika
mereka mahu sekalipun, belainan dengan Isa yang pada bila-bila masa
boleh berbuat demikian, adilkah itu?” soalnya.
Suhaimi turut mempersoal 800 unit saham berharga RM3,640 kepunyaan
peneroka yang dibeli melalui pinjaman bank dan dibayar balik selepas
enam bulan. Katanya, sekiranya harga saham turun, maka peneroka akan
rugi apabila membayar pinjaman.
“Dengan wang ‘durian runtuh’ RM5,000 yang mereka dapat ditambah
keuntungan saham yang tidak seberapa, macam mana nak bayar balik kepada
bank ? Akhirnya peneroka dapat apa?” sinisnya.
Jelas Suhaimi, FGVH sebenarnya hanya bergantung kepada Tabung Haji,
Tabung Angkatan Tentera dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Kalau bukan kerana sokongan tiga badan ini, pasti FGVH sudah runtuh
seperti Amanah Saham Johor yang kini hanya bernilai 20 sen seunit.
“Sebab itu dalam Buku Jingga kita akan mansuhkan Felda Holdings
sekiranya menang PRU dan bahagikan 850,000 ekar tanah itu kepada
anak-anak peneroka, tapi jika tanah dah tergadai apa harapan mereka
untuk dapat semula tanah itu?” soal beliau lagi.
Mengikut maklumat di BSKL, setakat jam 12 tengahari tadi, saham FGVH direkodkan pada RM5.10 seunit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan