Isnin, 20 Ogos 2012

RM1.09 juta elaun sara hidup dibayar kepada nelayan di Melaka

THE MALAYSIAN INSIDER

MELAKA — Sejumlah RM1.09 juta Elaun Sara Hidup (ESH) dibayar kepada nelayan di seluruh negeri Melaka bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka/Negeri Sembilan Baharin Omar berkata kira-kira 1,000 pemilik vesel perikanan dan pekerjanya yang berdaftar dengan LKIM mendapat manfaat daripada elaun berkenaan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM241,200, dibayar kepada ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Melaka Selatan manakala RM856,800 kepada ahli Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat.

“Jumlah nelayan di Melaka yang berdaftar dan mempunyai lesen sah daripada Jabatan Perikanan Melaka adalah seramai 1,766 orang iaitu 1,367 kategori pemilik manakala 399 kategori awak-awak namun bayaran elaun sara hidup nelayan hanya dibayar kepada mereka yang layak dan berdaftar dengan LKIM sahaja,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya pemilik vesel yang layak memperoleh ESH perlu mempunyai lesen yang sah atau kad e-nelayan dan tidak mempunyai pekerjaan tetap lain.

Bagi pekerja vesel pula, katanya mereka harus disahkan oleh pemilik vesel,berumur 18 tahun ke atas, warganegara Malaysia dan mempunyai kad nelayan yang dikeluarkan Jabatan Perikanan yang masih sah tempoh.

Baharin berkata elaun sebanyak RM200 sebulan itu merupakan usaha kerajaan bagi meringankan beban nelayan menghadapi tekanan ekonomi disebabkan kenaikan harga bahan bakar selain merupakan insentif kepada sektor perikanan supaya kekal berdaya maju.

Sementara itu, katanya sejumlah RM2.44 juta ESH dibayar kepada nelayan di negeri ini sepanjang tahun lepas. — Bernama

Tiada ulasan: