Sabtu, 4 Ogos 2012

Rakyat diajak cipta logo Merdeka alternatif pula

Harakahdaily,   

KUALA LUMPUR: Selepas mengemukakan tema alternatif Hari Merdeka, 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa', Pakatan Rakyat kini sedang berusaha pula untuk mengumpul cadangan logo alternatif dari rakyat.

Mereka hari ini melancarkan satu akaun laman peminat di Facebook atas nama '101 Cadangan Logo Merdeka - Sebangsa, Senegara, Sejiwa' untuk memudahkan rakyat negara ini menghantar cadangan rekabentuk logo itu.

Selain di Facebook, rakyat Malaysia yang mempunyai kreativiti, boleh juga menghantar logo ciptaan mereka ke emel sekretariatpakatan@gmail.com.

Menurut maklumat posting terbaru di wall Facebook itu, penganjur juga menyediakan hadiah saguhati kepada sesiapa yang logonya terpilih untuk dijadikan logo alternatif itu nanti.

"Hantarkan logo Merdeka yang anda impikan! Hadiah saguhati disediakan bagi logo yang ter-cool, ter-hot, ter-pilih... walaupun taklah sebanyak kontrak lembu RM250 juta, tapi sumbernya halal, insyaAllah!," tulis admin.

Setakat berita ini ditulis, sudah terdapat satu cadangan logo pertama yang dihantar oleh www.ilusenidesign.com.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat juga mengutip cadangan dari rakyat berhubung tema Merdeka yang lebih sesuai menggantikan tema 'Janji Ditepati' kerajaan yang dikritik banyak pihak sebagai tema politik BN.

Hasilnya, mereka melalui Jawatan Kuasa Pemilihan Tema yang dipengerusikan Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said memilih tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

Sehubungan itu, Pakatan sekali mengajak rakyat untuk bersama mencadangkan logo alternatif atas tema alternatif itu bagi mengantikan logo pilihan kerajaan sedia.

Sebelum ini, selepas diserang kiri dan kanan akhirnya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim tampil dengan kenyataan membayangkan akan menarik balik logo hari kemerdekaan negara yang ke 55.

Rais berhelah bahawa "Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi."

Beliau berkata, tiada logo rasmi digunakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini, melainkan logo 1Malaysia sepertimana sambutan pada tahun lepas.

Tiada ulasan: