Sabtu, 25 Ogos 2012

Peguam Negara Rasuah? Najib digesa tubuh tribunal

Roketkini.com

KUALALUMPUR: Najib digesa menubuhkan satu tribunal untuk menyiasat dakwaan rasuah serta salah guna kuasa oleh Peguam Negara Tan Sri Gani Patail.
Gesaan yang dibuat oleh Mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Kuala Lumpur Mat Zain dan bekas anggota panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Robert Phang dibuat berikutan dakwaan serius terhadap Gani yang didedahkan oleh penulis Zainal Abidin Ahmad dalam bukunya bertajuk “Tan Sri Gani Patail: pemalsu, penipu, penjenayah?”.

Dua hari yang lalu, Mat Zain telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memohon jawapan mengapa beliau tidak bersedia untuk menubuhkan satu tribunal untuk menyiasat Peguam Negara walaupun wujud banyak tuduhan serta bukti terhadap Gani tetapi telah memberi kebenaran untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Manakala Phang pula menggesa Peguam Negara agar menyiasat semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dan menyaman penulis buku tersebut sekiranya dakwaan-dakwaan yang didedahkan adalah palsu.

Satu laporan polis juga telah dibuat oleh Phang dengan menggesa SPRM dan pihak polis agar menyiasat dakwaan terhadap Gani merujuk kepada isu salah guna kuasa seperti yang didedahkan buku tersebut.

Memberi respon kepada isu ini, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Robert Phang dan Mat Zain telah membuat beberapa tuduhan serius terhadap Gani dan Perdana Menteri tidak boleh terus berdiam diri terhadap Peguam Negara yang paling kontroversial dalam sejarah negara ujar Kit siang.

“Ini kerana Peguam Negara dipandang sebagai ketua pegawai perundangan yang diberi penghormatan untuk mendaulatkan undang-undang daripada ketua yang melanggar undang-undang.” ujarnya.

Bagi Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor, rakyat Malaysia amat bimbang dengan sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kelihatan berdiam diri.

“Isu Peguam Negara ini merupakan isu paling kontroversi kerana ia melibatkan sejumlah dakwaan tuduhan rasuah serta penyalahgunaan kuasa oleh Peguam Negara sendiri yang dipandang sebagai ketua pegawai perundangan.

“Najib harus mempertimbangkan secara serius untuk menubuhkan satu tribunal kehakiman bagi meneliti sejumlah tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Gani seperti yang digesa Mat Zain dan Phang.”

Tanpa penubuhan tribunal yang dicadangkan, ia akan memberi persepsi bahawa Peguam Negara telah menjadi ketua yang melanggar undang-undang daripada ketua pegawai perundangan yang mendaulatkan undang-undang kata Kit Siang mengakhiri kenyataannya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: