Selasa, 14 Ogos 2012

PAS akan beri ruang kepada artis - Salahuddin

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Lebih 30 artis menyertai usrah bersama Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diketuai Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi di majlis berbuka puasa di sebuah restoran di Wangsa Maju semalam.

 Majlis tersebut turut dihadiri Ustaz Azhar Idrus, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Majlis bermula jam 6 petang dengan diskusi ringan pemimpin PAS, Ustaz Azhar bersama artis-artis.

Nasrudin yang ditemui Harakahdaily berkata majlis itu bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dengan para artis sambil mendapatkan pandangan dan menyatakan harapan mereka kepada PAS.

“Ia juga untuk membuka ruang kepada para artis untuk bertanyakan soalan kepada pemimpin PAS,” katanya.

Dalam majlis itu, Salahuddin mengakui sehingga kini PAS masih tidak mempunyai dokumen bertulis mengenai dasar hiburan seperti yang telah dibuat pada konsep Negara Berkebajikan.

“PAS masih baru dalam bidang ini. Yang ada cuma contoh di Kelantan yang kita dah memimpin selama 20 tahun, di Kedah kita masih baru,” kata beliau semasa menjawab soalan seorang peserta yang mempersoalkan mengapa PAS seolah-olah mempunyai dasar hiburan yang berbeza di Kedah dan Kelantan.

(Antara artis wanita yang hadir.)

Salahuddin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata PAS akan menerbitkan dasar hiburannya tersendiri dalam masa terdekat.

“Jaminan saya PAS akan beri ruang yang secukupnya kepada artis-artis bergerak dan zero-in pada bidang-bidang khas untuk artis menggunakan kemahiran mereka,” kata beliau.

Sementara itu, Harakahdaily juga sempat meninjau keadaan kesihatan saudara Bob Lokman yang menjalani angioplasti baru-baru ini.

“Satu saluran sumbat sedikit… Alhamdulilah sihat. Doktor masih perlu check, minggu depan check paru-paru pula,” katanya.

Selepas berbuka, Nasrudin mengadakan usrah bersama exco DPPM manakala Tuan Ibrahim pula menyampaikan kuliah dan bertarawih bersama artis-artis.

Ramai juga yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengan Ustaz Azhar Idrus.

Tiada ulasan: