Khamis, 23 Ogos 2012

Pakatan Rakyat bersatu atas nilai persamaan

Oleh : Mazir Ibrahim



Di Malaysia, apabila disebut tentang keunikan dalam makna yang di‘letak’ oleh kerajaan, pasti sekali ukuran itu diletak pada zahirnya. Penuh dengan warna warni, beraneka ragam busana dan kraftangan. Jadi, nilai baik yang ada pada setiap bangsa dan agama di Malaysia itu hanya ditumpukan pada aspek zahir atau lahiriah saja.

Begitulah adanya dalam Barisan Nasional, persengkokolan UMNO, MCA, MIC dan komponen lain hanya bersifat perkongsian permukaan, iaitu hubungan kerana faktor kuasa dan pembahagian sumber ekonomi. Bukan kerana perkongsian nilai atau idealisme.

Buktinya, MCA, MIC dan parti komponen lain hanya mampu menurut sahaja kehendak UMNO malah bersama-sama membiakkan budaya rasuah dan fitnah. Nilai rasuah dan fitnah ini memang diketahui oleh mereka, tetapi atas sebab kuasa, maka mereka berkompromi.

Ini tidak berlaku dalam Pakatan Rakyat, PAS dan DAP khususnya memang berbeza dari segi ideologi namun ketiga-tiga parti komponen utama dalam PR ini telah bersatu kerana satu nilai. Nilai inilah yang telah menyatukan kami. Tanpa nilai ini, PR tidak akan mampu untuk bersama atau bekerjasama.

Basmi rasuah bukan sekadar slogan

Rasuah merupakan satu kanser paling bahaya dalam mana-mana negara, bangsa dan agama.
Kerana rasuahlah budaya kita rosak, kerana rasuahlah sebuah tamadun agung boleh hancur, kerana rasuah jugalah maka agama hanya menjadi barang dagangan, malah dengan rasuahlah maka semua nilai-nilai baik akan rosak binasa.

Kanser rasuah ini amat sukar dikesan dan diubati, hanya dengan semangat dan kejujuran sahaja yang mampu mengawal penyakit ini. Semangat dan kejujuran bukanlah benda yang kita boleh lihat atau ukur secara lahiriah. Tetapi semangat akan dapat dilihat dengan perlaksanaan kata-kata.
Wujud isu, wujud siasatan, wujud pendakwaan, wujud pembelaan dan wujud kesan undang-undang dan moral. Inilah yang dimaksudkan dengan perlaksanaan kata (janji).

Penyakit ini tidak boleh diurus hanya menggunakan institusi kerana insititusi juga boleh dirasuah, kanser ini tidak boleh dibendung hanya dengan kerja satu orang sebaliknya semua pihak mesti terlibat sama dalam membendung penyakit berbahaya ini.

Paling utama, bagaimana nilai ini boleh diajar diperingkat awal usia manusia, diajar diruang awam tanpa melibatkan hal-hal formalistik. Budaya buruk berkembang secara virus dalam amalan masyarakat, begitu juga dengan budaya yang baik, ia sama.

Atas kesedaran tentang bahaya penyakit rasuah inilah maka PAS, DAP, PKR dan parti-parti komponen lain bersatu untuk memerangi, melawan, menentang atau membasmi penyakit kanser yang amat merbahaya ini.

Nilai ini dinamakan reformasi atau Ubah. Maksudnya amat jelas, kita mahu mengubah budaya jelek ini kepada budaya yang amanah, jujur, telus dan berintegriti. Tidak kiralah apa ideologi kita, apa agama kita, dari mana budaya kita, apa warna kulit kita, apa bahasa kita. Yang pasti, ucapan yang sama kita laungkan ialah Ubah.-roketkini.com

Tiada ulasan: