Sabtu, 4 Ogos 2012

Norman: Laporan saya dan Abby rujuk semula hanya spekulasi

SHARIFAH NOR FAZLINA SYED BAKRI

Ramadan satukan Norman, Abby dan Memey
Norman, Abby, Memey dan tiga anak mereka berbuka puasa bersama-sama
 
 
SHAH ALAM – Norman Hakim menafikan laporan blog bahawa beliau dan bekas isterinya, Abby Abadi akan merujuk semula ekoran pertemuan mereka dan isterinya, Memey Suhaiza baru-baru ini.

Ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini, Norman berkata, dia tidak mahu memberi apa-apa komen tentang isu tersebut.

Sebaliknya beliau menegaskan bahawa ia tidak benar dan hanya spekulasi semata-mata.

“Sepatutnya isu-isu sebegini perlu ditanya dahulu kepada tuan badan sendiri.

"Jangan terlalu percaya, selagi saya dan Abby tidak memberi apa-apa jawapan, anggap sahaja ia spekulasi daripada orang ramai dan ianya tidak benar sama sekali," kata beliau.

Norman menambah: "Saya hanya mahu melakukan yang terbaik dan melakukan yang terbaik untuk keluarga saya."

"Dan, saya akan sentiasa memastikan keluarga saya mempunyai hala tuju yang baik dalam memastikan keharmonian keluarga saya,” katanya lagi.

Kelmarin, Sinar Harian Online membawa laporan bahawa bulan Ramadan mulia telah menyatukan keluarga Norman dan bekas isterinya.

Norman berkata, dia sangat gembira dengan perkembangan terbaru itu dan menyifatkan Ramadan tahun ini adalah yang paling manis buatnya keluarganya.

“Sekarang hubungan kedua Abby dan Memey sudah baik dan menjadi semakin mesra sejak 7 Ramadan lalu. Seperti ramai sedia maklum sebelum ini, hubungan kami tidak begitu baik dan jikalau bertemu pun hanya untuk
tujuan mengambil dan menghantar anak dan komunikasi terbatas di antara kami bertiga.

“Tetapi mungkin disebabkan berkat bulan Ramadan serta doa yang selama ini tidak putus-putus saya dan masyarakat sekeliling mendoakan, akhirnya tercapai juga impian itu," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Abby pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 2008.

Norman menambah: "Saya sendiri tidak menyangka perkara ini berlaku secara tiba-tiba dan kebetulan hari itu hari Jumaat, kami bertemu di sekitar Masjid (Negeri) Shah Alam kerana Abby ada program di sana sebelum saya bawa anak-anak balik ke Kuantan untuk berpuasa di kampung dan dengan tidak semena-mena Abby menarik Memey ke tepi lantas terus berpelukan dalam tempoh yang agak lama."

Sehari sebelum Norman bercakap kepada Sinar Harian, Abby, 35, telah memuatnaikkan dua gambar terbarunya menerusi akaun twitter menunjukkan dia dan Memey, 24, bergambar dalam keadaan mesra beserta mesej “doakan yang terbaik untuk kehidupan kami berdua dunia dan akhirat” dan satu gambar mereka sekeluarga berbuka bersama.

Selain itu, Abby, pelakon drama Gerak Khas turut memberitahu dia juga sempat bersembahyang Maghrib bersama berimamkan bekas suaminya itu.

Norman dan Abby sebelum ini disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Gombak Timur pada 2008 selepas bercerai buat kali pertama pada 5 Mei 2006.

Norman berkahwin dengan Memey pada 24 September lalu.

Tiada ulasan: