Rabu, 8 Ogos 2012

MB Selangor: Unisel beroperasi tanpa CF



SHAH ALAM— Menteri Besar (MB) Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mengakui bukan hanya asrama pelajar, bahkan keseluruhan bangunan Universiti Selangor (Unisel) milik kerajaan negeri itu tidak mempunyai CF.

Khalid (gambar) ketika sidang media selepas merasmikan mesyuarat exco di sini berkata, terdapat banyak faktor yang menyebabkan institusi pengajian tinggi itu tidak memperoleh CF, antaranya termasuklah sistem kumbahan yang tidak sempurna.

“Ada kebenarannya beberapa perkara yang tidak dapat diselesaikan kerana pembinaan asrama itu tidak lengkap ... kita telah buat kajian dan mendapati bukan setakat asrama, (tapi) Unisel sendiri tiada CF.

“Ada banyak faktor ... tapi salah satunya adalah saluran kumbahan yang tidak sempurna,” katanya ketika menjelaskan kegagalan Unisel memperoleh CF dan isu hutang RM15 juta antara Unisel dengan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).

Menurut Khalid, pihaknya bukan sengaja enggan membayar hutang berkenaan, namun “dalam perjanjian yang ditandatangani sebelum 2008, sama ada orang duduk atau tidak, 100 peratus sewa penginapan kita kena bayar.”

“Kita nampak ini sebagai berat sebelah untuk Unisel. Orang cuti pun kena bayar,” tambahnya lagi.

Jelas Khalid lagi, JSNB sengaja membangkitkan isu hutang berkenaan, namun sebenarnya syarikat itu tidak menyelesaikan masalah mereka dan turut terhutang kepada Unisel apabila tidak menyelenggara bangunan asrama dengan sempurna.

“Kalau mereka tidak siapkan bangunan itu kita kena persetujui. Sekarang dia (JSNB) kata tak ada duit untuk membetulkan semua asrama tersebut dan Unisel sudah menawarkan akan menyiapkan bangunan berkenaan.

“Namun, bila Unisel nak buat, maknanya hutang itu dibayar oleh Unisel dengan cara membuat asrama tersebut.

“Bagi pandangan mereka hutang, tapi bagi pandangan Unisel itu beban. Jadi kita kena ada perjanjian offset. Selepas ada perjanjian offset barulah kita selesaikan,” kata Khalid lagi.

Justeru, Khalid telah mencadangkan untuk ianya dibincangkan dan mewujudkan timbang tara antara Unisel dengan Jana Niaga dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Khusrin Munawi dipilih sebagai penimbang tara seperti yang dijanjikan dalam perjanjian pembinaan asrama untuk Unisel.

“Mesti ada mesyuarat dan perjanjian. Saya suruh selesaikan isu ini. Ia tak boleh selesaikan cara media, tetapi perlu diselesaikan secara perjanjian ... tulis semula perjanjian. Itu paling penting,” katanya.

Buat masa ini, pelajar-pelajar Unisel ditempatkan sementara di kawasan perumahan di Kota Puteri, berhampiran kampus Unisel yang dimiliki oleh anak syarikat negeri di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui pelan kecemasan Unisel kerana asrama mereka tidak boleh diduduki.

Khalid juga turut menjelaskan, sekiranya perjanjian yang dibuat menunjukkan berlakunya ketidak adilan, perjanjian itu perlu dikaji semula.

“Semua perjanjian dengan kerajaan negeri adalah berterusan. Tapi kalau kita boleh buktikan wujud ketidakadilan, dan tidak menjalankan tanggungjawab, ia perlu dilihat semula, seperti setiap lima tahun perlu kaji.

“Kita tak rasa kerajaan negeri perlu tamatkan perjanjian,” tambahnya.

Tiada ulasan: