Sabtu, 4 Ogos 2012

Konvoi royalti simbolik sambut Najib ke Kelantan

Harakahdaily,

 


KOTA BHARU: Selepas berjaya menganjurkan konvoi dari Kota Bharu ke Gua Musang, NGO Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) hari ini pula meneruskan Konvoi Royalti dari Kota Bharu ke Pasir Puteh.

Menurut satu kenyataan NGO itu hari ini, pihaknya juga akan mengadakan sidang media jam 2.45 petang di Masjid Kubang Kerian.

Presidennya Nazri Deraman berkata, konvoi hari ini juga sebagai simbolik kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan yang dijadual 5 Ogos ini.

"Kita mahu perdana menteri selesaikan isu tuntutan royalti Kelantan ini dengan cara baik mengikut apa yang termaktub dalam perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan negeri," katanya.

Tambahnya lagi penyelesaian cara baik itu juga termasuk mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974, Perjanjian yang dimeterai pada 9 Mei 1975 antara Petronas dengan Kerajaan Negeri serta amanat Tun Razak sendiri.

Selain itu Sultan Kelantan juga telah menitahkan agar pendaratan Gas ke Kelantan serta telah menandatangani plak menuntut royalti pada 5 Jun 2012 lalu.

Pada 27 Julai lalu, Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri mengepalai Konvoi Royalti yang disertai lebih 200 kenderaan dari Kota Bharu ke Gua Musang.

Semalam, konvoi serupa turut diadakan bermula dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.

Tiada ulasan: