Mereka terpelanting beberapa kali di dalam gerabak terbabit dalam keadaan bertindih antara satu sama lain, sebelum merangkak keluar menerusi cermin pintu gerabak yang dipecahkan.
Penumpang itu menaiki 14 gerabak kereta api terbabit yang dalam perjalanan pulang untuk menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hasan berkata dua daripada 14 gerabak kereta api Ekspres Wau yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat, tergelincir kira-kira 11 kilometer selepas Stesen Keretapi Merapoh pada pukul 6.30 pagi.
Katanya, tiga mangsa parah dan lapan cedera ringan dihantar ke Hospital Gua Musang di sini, untuk rawatan lanjut.
[JIKA ANDA BERADA DI LOKASI KEJADIAN DAN MEMPUNYAI GAMBAR, SILA E-MEL KE ALAMAT sinaronline.portal@gmail.com]
Seorang penumpang yang terselamat, Nor Atikah Zakari, 21, berkata semasa kejadian kebanyakan penumpang sedang nyenyak tidur, hanya beliau bersama beberapa penumpang lagi belum melelapkan mata.
Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, gerabak yang dinaikinya tiba-tiba bergegar dengan kuat dipercayai selepas terputus dari sambungan dengan lokomotif.
Beliau berkata ketika itu, beliau bersama penumpang lain terpelanting beberapa kali dalam keadaan kelam kabut sambil masing-masing menjerit ketakutan.
"Saya juga bertindih antara satu sama lain di dalam gerabak berkenaan sebelum saya merangkak mencari pintu keluar untuk menyelamatkan diri," katanya yang dalam perjalanan pulang ke Tumpat.
Nor Hazliza Mohd Noor, 22, pula berkata,beliau sebelum itu tidak dapat melelapkan mata walaupun perjalanan masih jauh, tetapi tidak membayangkan perkara buruk berlaku.
Beliau berkata, ketika bunyi dentuman kuat semasa gerabak sedang terbalik, beliau turut menjerit meminta tolong, kemudiannya merangkak untuk keluar menerusi pintu namun gagal kerana ia masih tertutup dengan kuat.
"Ada penumpang lelaki yang terpaksa memecahkan cermin pintu koc terbabit sebelum saya dapat keluar menerusi cermin yang pecah itu dalam keadaan selamat," katanya.
Sementara itu, di KOTA BHARU, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memberitahu perkhidmatan kereta api penumpang dari Kuala Lumpur ke Kelantan tidak terjejas walaupun berlaku kemalangan tersebut.
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat KTMB, berkata kerja membaik pulih landasan dijangka selesai pukul 7 petang ini.
"Ketika ini petugas KTMB sedang menjalankan kerja membaiki landasan dan mengangkat tren yang tergelincir dari landasan," katanya ketika dihubungi dari sini, hari ini.
Jurucakap itu menasihati penumpang dan keluarga mereka supaya tidak risau mengenai perkhidmatan itu terutama di musim perayaan Aidilfitri ini.
Beliau juga meminta orang ramai menghubungi stesen KTMB berhampiran untuk mendapat maklumat terkini mengenai perjalanan mereka ke destinasi masing-masing. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan