Jumaat, 17 Ogos 2012

Kerajaan Negeri Ikrar Pertahankan Kadar Air Rendah Buat Rakyat Selangor





SHAH ALAM: Penstrukturan semula industri air di Selangor akan memastikan bahawa rakyat akan mendapat harga air yang tidak mahal berbanding dengan situasi sekarang di mana ia diuruskan syarikat konsensi.

Sekiranya penstrukturan semula tidak dapat dijayakan oleh kerajaan negeri, pengguna Selangor akan berhadapan dengan kenaikan harga air lebih 12 peratus.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menolak kemungkinan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) akan menaikan tarif air melebihi 12 peratus sekiranya Kerajaan Negeri gagal mengambilalih operasi syarikat itu.

Kerajaan Negeri sedang berusaha mengambil alih operasi Syabas, yang mengurus bekalan air terawat Selangor, yang merupakan sebahagian dari proses penstrukturan semula industri air.

Proses penstrukturan semula bertujuan memastikan bahawa air terawat dapat dibekalkan ke seluruh Selangor pada harga yang munasabah.

Bagaimanapun menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri akan membawa isu ini ke peringkat timbangtara antarabangsa sekiranya menemui jalan buntu.

“Saya tidak akan tawarkan keuntungan berlipat kali ganda kepada pemegang konsesi, begitu juga kerajaan persekutuan kalau mereka juga mengutamakan kepentingan rakyat tentu mereka tidak menyebelahi Tan Sri Rozali (Ismail).

“Saya akan  memastikan pulangan kepada rakyat akan menjadi keutamaan kerajaan negeri,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini.

Selain itu, Abdul Khalid turut menempelak Rozali, yang merupakan Pengerusi Eksekutif Syabas, kerana enggan berundur walaupun gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan dalam syarikat konsesi itu.

“Beliau patut berhenti dari Syabas, sebab dah pun dapat ganjaran dari Syabas dan beliau tidak terlibat atau tidak hadir dalam banyak usaha menyelesaikan masalah jika ada krisis air di Selangor.

“Bayangkan Kerajaan Negeri sendiri telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri berbincang setiap hari dengan Syabas, tetapi malangnya Pengerusi Syabas tak ada nak jalankan tanggungjawabnya sendiri,” ujar Abdul Khalid.

Beliau turut menggesa agar kerajaan pusat agar menyebelahi rakyat Selangor berbanding Rozali dalam isu penstrukturan air di Selangor.

“Saya nak mintak Kerajaan Persekutuan, negeri dah buat keputusan kita tak nak lagi Rozali sebagai dalang usaha operasi air di Negeri Selangor.

“Samada dibayar atau tidak, dia dah tak boleh lagi sebab sumbangan dia tak menguntungkan rakyat Selangor.”

Tiada ulasan: