Khamis, 23 Ogos 2012

Jual tanah IPD Brickfields kepada kroni Umno, KEADILAN lapor SPRM

Oleh Mohd Martin Kahar

PETALING JAYA: KEADILAN akan membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tanah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang dijual kepada kroni Umno.



Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, laporan yang akan dibuat minggu depan bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung isu itu dalam masa terdekat selepas tidak berpuas hati dengan penjelasan daripada pihak yang bertanggungjawab.

“InsyaAllah minggu depan saya akan kumpulkan semua bukti yang ada termasuklah akta-akta berkaitan penggunaan tanah untuk diberikan kepada SPRM. Kita juga mengajak supaya rakyat yang mempunyai bukti yang boleh diguna SPRM supaya mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini diheret ke mahkamah.

“Ini sangat serius kerana sehingga ke hari ini, tiada jawapan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berhubung peranan Senator Mariany Yit bagaimana tanah polis boleh dibeli,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.

Nurul Izzah pada April lalu mendedahkan tapak Lot 18, tempat asal IPD Brickfields diberi kepada Ketua Wanita Umno Bukit Bintang, Senator Mariany Yit.

Tanah itu dianugerah kepada Mariany sebagai balasan syarikatnya, Primamuda Holdings Sdn Bhd membangunkan Lot 55, Balai Polis Jalan Travers.

Mariany sebelum ini dikatakan pernah memegang jawatan penting di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sehingga membolehkan beliau memperoleh projek berkenaan.

Tiada ulasan: