Sabtu, 25 Ogos 2012

Janji Demokrasi: Tidak timbul isu permit

Anis Nazi,

KUALA LUMPUR: Sambutan ambang kemerdekaan anjuran Gabungan Janji tetap diteruskan di Dataran Merdeka, 30 Ogos ini biarpun tanpa permit.

Pengarah Eksekutif Empower Selangor, Maria Chin Abdullah, berkata himpunan yang dinamakan 'Janji Demokrasi' itu tidak memerlukan sebarang permit daripada pihak berkuasa.

Ia kerana, katanya himpunan itu merupakan satu himpunan biasa bagi menyambut ulangtahun kemerdekaan negara seperti yang diamalkan sebelum ini.

"Kebiasaannya, sambutan kemerdekaan ini diadakan setiap tahun dan diraikan di empat lokasi berbeza seperti di Dataran Merdeka, Bukit Bintang, KLCC dan Dataran Maybank.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media gabungan itu, di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, pagi tadi.

Tambah beliau himpunan yang bermula jam 10 malam di kawasan pancuran air itu hanya mempunyai perbezaan kerana mereka yang ingin menyertainya digalakkan memakai pakaian berwarna kuning.

Turut menyokong penegasan gabungan tersebut ialah Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang menyifatkan isu permit tidak perlu ditimbulkan oleh mana-mana pihak.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata perkara itu tidak timbul memandangkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah sedia maklum mengenai sambutan tersebut.

Pada ambang malam kemerdekaan itu, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said akan turut serta menyampaikan sajak beliau.

Tiada ulasan: