Khamis, 16 Ogos 2012

Hanya 10 Peratus Kenderaan Berat Dibenar Berada Di Jalan Raya Aidilfitri Ini

MSTAR ONLINE
 
SETIU: Hanya 10 peratus daripada 25,000 kenderaan berat dibenar berada di jalan raya pada Aidilfitri ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan.

Beliau berkata hanya lori minyak, lori makanan, lori surat khabar dan lori perubatan yang dibenar membuat perjalanan pada musim perayaan itu.

"Kenderaan berat dilarang menggunakan jalan raya pada 17, 18, 25 dan 26 Ogos bagi mengelak berlakunya kesesakan.

"Jika masih ada pemandu syarikat-syarikat kenderaan barangan lain berbuat demikian, kami akan menyita kenderaan itu," katanya kepada pemberita selepas Operasi Aidilfitri di Kampung Bukit Merah, di sini Khamis.

Sementara itu, 1,927 saman dikeluarkan dalam tempoh tiga hari Operasi Penguatkuasaan Sempena Aidilfitri 2012 bermula 12 Ogos lepas.

Antara kesalahan yang paling banyak dikesan ialah tidak memiliki lesen memandu iaitu 880 kes diikuti cukai jalan tamat tempoh 732 kes, kata Solah. - BERNAMA

Tiada ulasan: