KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR Gabungan JANJI yang dianggotai 49 NGO akan bersama anak semua bangsa merayakan sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos ini dengan tema ‘Janji Demokrasi’.Sekretariat Gabungan JANJI bertegas, mereka bukan mewakili Bersih 2.0 seperti dilaporkan sesetengah pihak dan tujuan utama himpunan itu untuk meraikan malam ambang kemerdekaan dengan semangat ‘Janji Demokrasi’.
“Di bawah tema ‘Janji Demokrasi’, Gabungan JANJI akan bersama rakyat Malaysia pada pukul 10 malam di kawasan pancuran air sekitar Dataran Merdeka dengan mengenakan pakaian kuning sebagai warna tema.
“Gabungan JANJI juga ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa kami bukan mewakili Bersih 2.0 sepertimana yang dilaporkan oleh sesetengah pihak,” katanya dalam kenyataan.
Gabungan JANJI menjemput semua rakyat Malaysia untuk bersama menyambut detik ketibaan hari merdeka yang cukup istimewa kali ini.
“Kami akan berkumpul di Dataran Merdeka secara aman dan damai bersama anak semua bangsa.
“Kami juga menyarankan semua rakyat Malaysia, dari Perlis ke Johor serta Sabah dan Sarawak agar memakai kuning pada malam ambang Merdeka,” kata gabungan itu dalam kenyataan.
Menurut gabungan itu, Sasterawan Rakyat, Datuk A Samad Said akan bersama-sama untuk meraikan malam tersebut dengan mendeklamasikan sebuah puisi istimewa.
Gabungan JANJI turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang menyambutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan