Khamis, 16 Ogos 2012

Faekah : Chua Perlu selesai Isu NFC Sebelum Debat Dengan MB





SHAH ALAM: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong dinasihatkan untuk melupakan sahaja hasratnya berdebat dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu penyusunan semula hutang Talam.

Sebaliknya beliau perlu memberi fokus untuk memperjelaskan kepada rakyat isu penyelewengan dana bernilai RM250 juta ekoran skandal NFC yang membabitkan kementeriannya.

Perkara ini dilontarkan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin sebagai reaksi terhadap cabaran Chua untuk berdebat dengan Abdul Khalid.

“Datuk Chua Tee Yong silap membuat percaturan apabila menganggap dirinya setaraf dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita tidak menghalang beliau mencari publisiti murahan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tidak lama lagi tetapi isu yang dibangkitkan biarlah relevan dan mengikut keutamaan,”jelas Faekah menerusi satu kenyataan media kepada TVSelangor hari ini.

Sebelum ini, Chua menerusi beberapa sidang medianya menuduh kerajaan Selangor melakukan penyelewengan RM1 bilion yang melibatkan syarikat Talam Corporation, sebuah syarikat awam yang dilanda masalah hutang.

Tidak cukup dengan tuduhan itu, Chua juga mendakwa kerajaan Selangor telah membeli tanah di Danau Putra yang 80 peratus diliputi oleh air dengan alasan untuk membuat taman tema Sunway, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang pembangunan.

Namun begitu, Abdul Khalid berkali-kali menyatakan bahawa cara terbaik untuk menjawab semua dakwaan yang dibangkitkan Chua adalah menerusi kertas putih yang sedang disiapkan Kerajaan Selangor.

“Mungkin Chua terlalu risau kerana masyarakat Tionghua semakin lupa akan kewujudannya sebagai timbalan menteri, ahli parlimen dan anak Presiden MCA sehinggakan beliau terpaksa mencari publisiti murahan dan menjengkelkan.

“Tetapi jika Chua terus berdegil untuk terus berdebat, beliau sepatutnya menyahut cabaran Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang telah berkali-kali mencabar beliau untuk berdebat,”katanya.

Dalam pada itu, Faekah turut menyarankan Chua untuk terlebih dahulu mendapatkan maklumat dan jawapan bagaimana BN boleh menyerahkan ribuan ekar tanah kepada Tan Sri Chan Ah Chai yang juga kroni MCA sebelum lantang mencabar kerajaan Selangor untuk berdebat.

“Beliau perlu menyoal bekas pemimpin utama MCA atau mungkin bapanya, Datuk Seri Chua Soi Lek boleh membekalkan maklumat dan berjaya memujuk bank memberikan ratusan juta hutang kepada syarikat kroni MCA itu.

“Bukan sahaja MCA, Chua juga patut menyoal pemimpin UMNO ketika itu mengapa terlalu cuai menyerahkan tanah dan projek kepada syarikat milik Chan Ah Chai,”jelasnya.

Sebagai rekod, Tan Sri Chan Ah Chai pada ketika itu merupakan Ahli Lembaga Pengarah anak-anak syarikat Kerajaan Negeri yang telah menyerahkan tanah dan projek kepada Talam.

Berdasarkan kronologi pendedahan ini, Faekah mempersoalkan adakah layak bagi Chua untuk mempertikaikan usaha Kerajaan Selangor mengutip semula hutang Talam yang lebih 10 tahun dibiarkan oleh BN.

“Mengapa beliau terlalu sibuk isu di Selangor sedangkan isu di bawah kementeriannya beliau tidak mampu pun bersuara.

“Isu penyelewengan dana NFC RM250 juta di bawah kementeriannya, Apa yang Chua lakukan?
“Beliau tidak mengambil tindakan yang boleh dibanggakan masyarakat Tionghua di negara ini,”tegas Faekah.

Tiada ulasan: