Exco kerajaan negeri Dr Xavier Jayakumar berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor (Upen) mempersetujui rancangan Selangor untuk menstruktur semula bekalan air di negeri itu.

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai hasil daripada program Dialog Air Selangor 2012 di Dewan Sivik Petaling Jaya hari ini.

"Upen, SPAN dan orang ramai semuanya bersetuju dengan rancangan penstrukturan semula hasil daripada dialog ini," katanya.

Selain itu, Xavier berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk membuka semula loji rawatan air di Bukit Jelutong sebagai salah satu tindakan mengatasi masalah air di Selangor.

Loji berkenaan akan dibuka semula dalam tempoh dua hingga tiga bulan," katanya kepada pemberita selepas program dialog yang berlangsung selama kira-kira tiga jam itu.
Dalam perkembangan sama, Xavier berkata, kerajaan negeri tidak menolak seratus peratus projek pembinaan loji Langat 2 memandangkan sebahagian daripada pembinaannya telahpun dimulakan.

''Banyak kekeliruan yang ada bagi Langat 2. Kita perlu kaji dulu. Tidak menolak sebab terowong telah dibina.

"Tetapi apa yang penting ialah kita perlu penstrukturan terlebih dahulu. Kemudian baru kita bincang bagaimana untuk Langat 2," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Teo Yen Hua yang turut hadir ke dialog hari ini berkata suruhanjaya itu bersetuju dengan penstrukturan semula bekalan air Selangor, namun mengharapkan agar projek Loji Rawatan Air Langat 2 tetap diteruskan.

Beliau yang ditemui pemberita selepas dialog tersebut, berkata loji rawatan Langat 2 itu penting bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga tahun 2015.

"Langat 2 perlu diteruskan. Jika tidak, pada 2015 air akan berkurang. Kita perlu lakukan sesuatu. Industri berharap agar kita dapat bekerja bersama dengan kerajaan negeri untuk pembangunan negara," katanya.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memuktamadkan pengambilalihan syarikat terbabit selewat-lewatnya pada September.

Langkah itu demi mempercepatkan proses penstrukturan semula perkhidmatan air di negeri itu, kata Khalid.

VIDEO | 3.12 min