Selasa, 21 Ogos 2012

DAP desak A-G gunakan seksyen 114A terhadap Pemuda Umno


KUALA LUMPUR— Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) hari ini medesak peguam negara (AG), Tan Sri Abdul Ghani Patail agar menggunakan pindaan seksyen 114A, Akta Keterangan untuk mendakwa pemuda Umno berhubung dengan satu gambar yang dipapar dalam laman Facebook rasmi pergerakkan tersebut mengatakan bahawa undi untuk Pakatan Rakyat (PR) akan menyebabkan agama Kristian menggantikan Islam sebagai agama persekutuan.

Menurutnya, ini bagi membuktikan bahawa pindaan akta tersebut akan digunakan terhadap semua pihak dan bukan hanya kepada musuh politik Barisan Nasional (BN).

“Kami mendesak AG, oleh kerana beliau mempertahankan pindaan Akta Keterangan agar mendakwa pemuda Umno diatas paparan gambar tersebut.

“Selepas akta tersebut dipinda, seseorang yang dituduh bersalah terlebih dahulu sebelum diberi peluang membela diri,” katanya dalam rakaman audio yang dikirim kepada The Malaysian Insider hari ini.

Pemuda Umno melalui ketua pemuda Taman Tun Dr. Ismail, Ibdillah Ishak walaubagaimanapun telah membuat satu laporan polis semalam menafikan laman Facebook tersebut milik mereka.

Lim juga menjelaskan beliau tidak menyokong pindaan seksyen 114A, Akta Keterangan akan tetapi mahu melihat sejauh mana kerajaan tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam melaksanakan pindaan akta tersebut.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sebelum ini menyatakan mereka tidak lakukan perkara tersebut.

“Mereka cakap sejak 2009 mereka sudah tak aktif.

“Kalau mengikut undang-undang ini, beban untuk membuktikan sama ada mereka bersalah atau tidak adalah ke atas pihak yang diadu dan bukan kepada pihak pendakwaraya.

“Biasanya dalam kes-kes mahkamah pendakwaraya mesti buktikan mereka bersalah bukan yang didakwa tetapi selepas pindaan ke atas Akta Keterangan sekyen 114A, sekarang beban terletak diatas mereka yang didakwa, sudah terbalik dan sebab itulah ia dibantah oleh semua peguam dan juga masyarakat Madani sebagai suatu ancaman atau pencabulan kepada kebebasan maklumat dan kebebasan berinternet,” katanya.

Pindaan seksyen 114A, Akta Keterangan telah mendapat tentangan hebat daripada pembangkang, NGO dan beberapa ahli parlimen dan senator BN.

Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mesejnya di Twitter menyatakan bahawa kerajaan akan mengkaji semula pindaan akta tersebut.

Walaubagaimanapun menteri penerangan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata seksyen 114A akan diteruskan untuk melindungi pengguna internet di Malaysia.

Tiada ulasan: